ADEN, 2 OGOS – Militan Al-Qaeda yang melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera di selatan Yaman hari ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 19 tentera maut, kata sumber keselamatan.
AFP melaporkan, serangan itu berlaku sehari selepas satu lagi serangan maut dilancarkan pemberontak dan pengebom.
Menurut tiga sumber keselamatan, sekumpulan penyerang menyerbu pangkalan tentera Al-Mahfad di wilayah Abyan dan berada di dalam kawasan itu selama beberapa jam sebelum tentera bantuan tiba.
“Penyerang Al-Qaeda mengambil peluang terhadap apa yang berlaku semalam di Aden dan melancarkan serangan terhadap pangkalan Al-Mahfad dan bertempur dengan tentera.
“Tentera bantuan dihantar dan mereka dibunuh, manakala yang lain berjaya dihalau keluar dengan sokongan udara daripada pakatan diketuai Arab Saudi dalam operasi beberapa jam,” kata sumber terbabit.

“Sekurang-kurangnya 19 tentera terbunuh dan beberapa lagi lainnya mengalami kecederaan.”
Dua lagi pegawai mengesahkan kedua-dua butiran dan angka kematian.
Manakala satu lagi serangan yang berlaku kelmarin oleh pemberontak Syiah dan militan terhadap pasukan keselamatan di bandar kedua Yaman, Aden, membunuh sekurang-kurangnya 49 orang, kebanyakan mereka adalah kadet polis terlatih baharu, kata para pegawai.
Serangan pertama merupakan pengeboman nekad dalam sebuah kenderaan yang dilakukan oleh militan di sebuah balai polis yang membunuh 13 pegawai polis dan mencederakan beberapa lagi lainnya, kata sumber keselamatan. Serangan kedua dilakukan oleh pemberontak Huthi, yang mengatakan mereka melancarkan dron dan peluru berpandu balistik di kem latihan barat Aden.
Serangan udara melanda ketika para komandan kanan mengawasi perbarisan untuk kadet yang baru lulus di Kem Al-Jala, 20 kilometer (13 batu) dari pusat Aden. – AFP