TOKYO, 16 OKT – Beruang telah mencatatkan rekod tertinggi dalam serangan ke atas manusia di Jepun tahun ini, menurut Kementerian Alam Sekitar hari ini, susulan laporan seorang lagi mangsa dilaporkan hilang.
Peningkatan serangan itu dikaitkan dengan kekurangan sumber makanan seperti biji oak akibat perubahan iklim, yang menyebabkan beruang semakin kerap menceroboh kawasan kediaman manusia, terutama di wilayah yang penduduknya semakin tua dan berkurangan.
Pakar berkata cuaca yang lebih panas turut menjejaskan corak hibernasi beruang, termasuk spesies beruang perang yang mampu mencapai berat setengah tan dan berlari lebih laju daripada manusia.
Jumlah baharu tujuh kematian dalam tahun fiskal semasa ‘adalah jumlah terbesar sejak 2006, apabila statistik bermula’, seorang pegawai kementerian alam sekitar memberitahu AFP.
Menurut pegawai kementerian yang enggan dikenali, jumlah kematian baharu itu mengatasi rekod lima korban manusia yang dicatatkan pada tahun fiskal 2023–2024.

Lebih 100 individu dilaporkan cedera dengan kesan gigitan serta luka dalam akibat cakaran haiwan tersebut.
Rekod terbaharu dicapai selepas pengesahan seorang lelaki berusia 70an ditemui mati pada 8 Oktober di wilayah utara Iwate akibat serangan beruang. Menurut penyiar tempatan TV Iwate, kepala dan badan lelaki itu terpisah.
Dua hari kemudian mayat seorang lelaki lain berusia 70an di Iwate ditemui di hutan ketika mangsa mengutip cendawan.
Manakala beberapa hari sebelum itu seorang lelaki berusia 78 tahun ditemui mati di wilayah Nagano dengan kesan cakaran pada tubuhnya.
Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat disahkan.
Seorang pekerja di pusat peranginan mata air panas di Kitakami, juga di Iwate, dilaporkan hilang hari ini.
Media tempatan berkata pasukan pencari telah menemui bekas seperti darah manusia.
Manakala lima lagi dilaporkan cedera hari ini dalam insiden di wilayah Akita dan Fukushima, lapor rangkaian Fuji Television.
Awal bulan ini pula, seorang pelancong dari Sepanyol diserang beruang ketika menunggu bas di kampung pelancongan Shirakawa-go di wilayah tengah Jepun.
Jepun mempunyai dua jenis beruang iaitu beruang hitam Asia, juga dikenali sebagai beruang bulan dan beruang perang yang lebih besar yang tinggal di pulau utara utama Hokkaido.
Ribuan beruang ditembak setiap tahun, walaupun populasi manusia Jepun yang semakin tua bermakna bilangan pemburu semakin berkurangan. – AFP

