Wednesday, February 26, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan bom di Colombia cederakan 17 orang

    BOGOTA, 25 FEB – Satu serangan bom yang berlaku di barat daya Colombia yang bergolak telah mencederakan 17 orang kelmarin, termasuk tiga kanak-kanak dan dua pegawai polis, kata pihak berkuasa, di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap proses perdamaian yang rapuh.

    Sebuah peranti, yang dipercayai bom yang dipasang pada motosikal, meletup di luar balai polis di bandar Morales, menurut laporan Gabenor wilayah Cauca, Octavio Guzman, di platform X.

    Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dimasukkan ke hospital dengan kecederaan serius, katanya, manakala dua pegawai polis memerlukan rawatan.

    “Mereka membawa saya ke hospital kerana saya tidak dapat mendengar dan melihat dengan baik,” beritahu Deily Otero, salah seorang mangsa yang cedera dalam serangan itu, kepada AFP.

    Dia menjelaskan bahawa dia sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran berdekatan apabila letupan berlaku.

    “Saya melihat ke arah pegawai polis, saya nampak mereka terbaring di tanah dan saya nampak kanak-kanak… serta motosikal yang terbakar,” kata Otero.

    Colombia sedang bergelut untuk menangani konflik bersenjata yang telah berlanjutan selama enam dekad antara gerila kiri, tentera separa sayap kanan, kartel dadah dan pasukan kerajaan.

    Negara Amerika Selatan itu telah menyaksikan peningkatan keganasan apabila rundingan damai dengan kumpulan-kumpulan yang masih berjuang telah beberapa kali gagal sejak perjanjian yang dimeterai pada 2016, membawa kepada pelucutan senjata FARC – yang ketika itu merupakan tentera gerila terbesar di dunia.

    Datuk Bandar Morales, Oscar Yamit Guacheta, memuat naik video di media sosial yang menunjukkan berpuluh-puluh orang, termasuk pelajar sekolah, melarikan diri selepas letupan kuat itu. – AFP

    Pemandangan tempat sebuah motosikal yang dipasang bom meletup berhampiran balai polis di Morales, wilayah Cauca, Colombia, yang diambil pada 24 Februari 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda