CHARIKAR, Afghanistan, 2 Nov – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan hampir 30 yang lain cedera dalam letupan lori minyak di Charikar, Parwan di Afghanistan, kata seorang pegawai tempatan lapor agensi berita China Xinhua.
Kejadian berlaku pada malam Rabu, di kawasan kejiranan apabila sebutir bom yang dipasang pada lori minyak meletup, menyebabkan bas yang berada berdekatan terbakar, kata pegawai berkenaan.
“Seramai 15 orang, termasuk seorang wanita rentung manakala 30 yang lain cedera dan jumlah mangsa mungkin meningkat memandangkan beberapa mangsa yang cedera dilaporkan kritikal,” tambah pegawai berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila lori minyak bergerak dengan perlahan di jalan raya yang menghubungkan Kabul dengan wilayah utara Afghanistan dan serangan dipercayai angkara pengganas.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu tetapi sebelum ini militan Taliban memberi amaran kepada syarikat logistik tempatan untuk tidak mengangkut bahan bakar dan barang untuk kerajaan serta pihak asing yang berada di negara itu. – Bernama
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P14-B_031117.jpg)