Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan bom ragut 13 jiwa

    NARATHIWAT, 10 April – Bilangan mangsa yang cedera dalam kejadian tiga letupan bom di pekan Sungai Golok petang semalam meningkat kepada 13 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

    Ketua Polis Sungai Golok Kol. Prayuth Wongsanti berkata, pihak keselamatan sedang memburu enam individu yang dipercayai terlibat dengan insiden letupan bom itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    “Mangsa yang cedera terdiri daripada individu berusia 53 tahun sehingga kanak-kanak berusia tiga tahun,” katanya kepada pemberita hari ini dan menambah, kesemua mangsa menerima rawatan di hospital berhampiran.

    Anggota forensik Polis Thailand memeriksa lokasi kejadian letupan bom di pekan Sungai Golok semalam yang mengakibatkan 13 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera. – Bernama

    Dalam kejadian 6 petang (waktu tempatan) semalam, tiga butir bom motosikal meletup di tiga kawasan berasingan di pekan sempadan yang popular dengan pengunjung Malaysia berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan Rantau Panjang, Kelantan.

    Setakat ini tiada laporan mengatakan pelancong Malaysia tercedera dalam insiden letupan bom semalam itu.

    Menurut Prayuth, bom pertama meletup di hadapan sebuah pusat karaoke di Jalan Prachaviwat diikuti letupan kedua di hadapan sebuah restoran dan bom ketiga di belakang Hotel Plaza. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda