Serangan bom sasar bas tentera

DAMSYIK, 4 OGOS – Satu letupan bom yang menyasarkan sebuah bas tentera berlaku di Damsyik, ibu negara Syria di sini, hari ini dan jumlah korban masih belum dapat dipastikan, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita SANA.

Kejadian berlaku di kawasan Masaken al-Haras, sebuah kawasan perumahan anggota tentera di barat laut Damsyik. 

Seorang saksi berkata anggota paramedik sedang mengeluarkan mayat yang rentung dari dalam bas.

Gambar dalam talian yang dimuat naik oleh orang ramai yang melalui kawasan itu menunjukkan sebuah bas hangus dijilat api dan asap tebal menyelubungi lokasi kejadian berkenaan. 

Sementara itu, menurut sumber tidak rasmi, letupan dipercayai berpunca daripada bom yang dipasang di bahagian bawah bas. – Bernama