ONDERSTEPOORT – Ulat berwarna coklat akan kelihatan tatkala tanaman jagung di sana dikupas kulitnya. Ulat yang digelar armyworm itu akan menggeliat sambil menebuk masuk tanaman itu. Ia juga akan meninggalkan cairan pekat gelap. 80 peratus daripada tanaman jagung keluarga Prinsloo sedang diserang oleh spesies ulat tersebut. Perkara ini juga berlaku kepada petani-petani lain di Haakdoringboom iaitu komuniti pertanian 20 kilometer (12 batu) utara dari ibu negeri Afrika Selatan, Pretoria.
“Ulat-ulat ini memakan semua yang mereka rayapi,” kata Jacques Prinsloo, petani di sana sambil memegang daun yang telah rosak dimakan oleh ulat untuk menunjukkan kepantasan ulat fall armyworms memakan tanaman. Daun-daun bagaikan di cincang dan sisanya berguguran masuk ke dalam tanaman – petanda bencana bakal tiba.
Spesies perosak yang baru tiba itu menunjukkan imuniti kepada racun perosak sebelum ini. Spesies tersebut merosakkan tanaman dan akan memberi kesan buruk kepada bekalan makanan selatan Afrika lebih-lebih lagi setelah ia merebak ke Zambia dan Zimbabwe dan seterusnya selatan Afrika.
Tanaman Malawi, Mozambique dan Namibia juga dipercayai telah dijangkiti oleh spesies ulat tersebut. Ia berasal dari Amerika Selatan dan dipercayai telah sampai di Afrika melalui penghantaran tanaman atau melalui pesawat komersial. Spesies itu pertama kali di jumpai di Afrika di Nigeria dan Togo tahun lepas.
“Saya telah mencuba semua yang ada di pasaran. Saya menghabiskan 45,000 rand (AS$3,400) untuk membeli racun perosak,” kata Jacques, 24 tahun, yang telah cuba untuk menyelesaikan masalah itu sejak 6 minggu lalu. “Tahun lepas kami dilanda banjir, tahun ini kami diserang ulat, apa lagi yang menunggu kami tahun depan? Semua orang berfikir bertani ini senang. Ia nampak senang, sehinggalah kamu mula melakukannya.” Jacques menganggarkan empat dari lima tanaman jagungnya telah rosak.
Kami berusaha
Jika tanamannya rosak sepenuhnya, tahun ini sahaja dia menganggarkan kerugian keluarganya sebanyak 700,000 rand (AS$53,000). Menurut Adele, tanaman-tanaman jirannya juga dirosakkan oleh spesies ulat tersebut. Dia dan anaknya Jacques mengupah 6 orang pekerja untuk bekerja di ladangnya yang mempunyai keluasan kira-kira enam hektar itu. “Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini. Ladang sebelah juga sedang berusaha,” kata Adele.
Fall Armyworms mengakibatkan kebinasaan kepada tanaman utama di seluruh Selatan Afrika buat pertama kalinya. Sumber utama makanan seperti jagung, gandum, milet dan beras telah di serang oleh spesies ulat itu yang menyebabkan kebimbangan kekurangan sumber makanan secara besar-besara.
Hampir 40 ribu orang di Selatan Afrika terjejas akibat kemarau panjang dua tahun yang disebabkan oleh fenomena iklim El Nino yang telah mengurangkan sumber makanan sebanyak 15 peratus, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO).
David Phiri, penyelaras FAO di Selatan Afrika memberi amaran mengenai kemuncak krisis, di Harare baru-baru ini. Dia memberitahu bahawa krisis armyworm memberikan “ancaman kepada bekalan makanan”.
Kekecewaan
Meskipun tempat mereka itu terletak hampir dengan ibu negara, keluarga Prisloo merasakan nasib yang menimpa mereka dan juga petani-petani lain tidak dihiraukan oleh kerajaan. “Saya sangat marah, hampa dan saya rasa kami tidak mempunyai harapan lagi.
Saya rasa saya boleh duduk dan menangis sehingga mati,” kata Adele, 50 tahun yang telah menjadi petani hampir separuh dari hidupnya.
“Saya telah melaburkan banyak duit dan memberikan usaha, namun saya tidak diberikan bantuan. “Mereka berjanji kami akan diberikan lawatan oleh kementerian pertanian Ahad ini, tapi mereka telah membatalkannya.
Tiada seorang pun yang melakukan apa-apa. Mereka memberitahu mereka akan mengimport racun dari luar negara, tapi sehingga kini kami tidak mendengar berita mengenainya.”
Wilayah sekitar ladang keluarga Prinsloo itu baru mulai pulih dari kemarau terteruk dalam sejarah, kemudian mereka dilanda lagi dengan spesies ulat armyworms.
“Tahun lepas kami dilanda kemarau tapi kemudian hujan turun. Sekarang, ulat lagi menyerang dan merosakkan tanaman kami,” kata Adele.
Dalam satu ladang yang terjejas teruk, hampir semua tanaman menunjukkan kerosakan. Merenung jauh ke ladang keluarganya yang dilengkapi dengan sistem pengairan mekanikal, Jacques meragui kemunculan penyelesaian dalam masa terdekat ini.
“(Tanaman ini) tidak akan membuahkan jagung disebabkan oleh kerosakan yang dialaminya,” katanya merujuk kepada tanaman tahun ini.
“Larva akan bertukar menjadi ulat dan kami perlu berusaha untuk menyingkirkan mereka lagi. Membakar mungkin satu-satunya pilihan yang kami ada.” – AFP