WASHINGTON, 5 Nov – Satu-satunya cara yang terbaik untuk mengesan dan menentukan semua tapak senjata nuklear Korea Utara ialah melalui serangan darat, Washington Post melaporkan pada Sabtu memetik surat dari para pegawai Pentagon yang dihantar kepada ahli parlimen AS.
Akhbar tersebut berkata surat itu yang dilaporkan ditulis oleh naib pengarah Kakitangan Bersama Pentagon menyatakan konflik itu boleh mendorong Pyongyang untuk menggunakan senjata biologi dan kimia.
Laporan yang memperincikan prospek peperangan di Semenanjung Korea muncul ketika Presiden Donald Trump memulakan jelajah Asia selama hampir dua minggu dengan program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang yang dijangka menjadi agenda utama.
Jabatan Pertahanan AS menghantar surat tersebut sebagai respons kepada permintaan dua anggota Kongres untuk mendapatkan butiran mengenai ‘penilaian yang dijangkakan akibat korban dalam konflik dengan Korea Utara’ untuk pasukan AS dan sekutu di Jepun, Korea Selatan dan Guam serta orang awam, Washington Pos berkata.
Ketegangan telah meningkat gara-gara program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara sejak beberapa bulan lalu dan diburukkan lagi oleh perang mulut Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un. – AFP