ADEN, YAMAN, 28 OGOS – Kira-kira 25 anggota tentera kerajaan Yaman terbunuh pada Selasa dalam serangan besar-besaran yang dilancarkan pemberontak Houthi di utara wilayah Saada, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai tentera.
“Kumpulan Houthi melakukan serangan hendap ke atas sejumlah anggota tentera yang sedang mara di timur kawasan Kataf di Saada,” kata pegawai tentera itu yang enggan identitinya didedahkan.
Beliau berkata serangan itu menyebabkan 25 anggota tentera maut manakala ramai lagi cedera sambil menambah bahawa pemberontak Houthi turut menawan beberapa tentera.
Hadi Tarshan, gabenor Saada, mengesahkan kepada Xinhua bahawa konfrontasi sengit itu berlanjutan selama tiga hari berturut-turut berhampiran Kataf. – Bernama