Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Serangan Israel ke atas Nuseirat ragut 31 nyawa

    SEMENANJUNG GAZA, 19 MEI – Agensi pertahanan awam Gaza berkata hari ini bahawa serangan udara Israel menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian di tengah-tengah wilayah Palestin mengorbankan kira-kira 31 orang, mengemas kini jumlah korban sebelumnya.

    “Kru pertahanan awam berjaya mengeluarkan 31 syuhada dan 20 yang cedera dari sebuah rumah milik keluarga Hassan, yang menjadi sasaran pasukan pendudukan Israel di kem Nuseirat,” kata jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal kepada wartawan.

    Beliau berkata, anggota penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang di bawah runtuhan.

    Hospital Syahid Al-Aqsa mengatakan awal hari ini bahawa mereka telah menerima mayat 20 orang yang terbunuh dalam serangan itu yang menurut saksi berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.

    Tentera Israel ketika dihubungi AFP meminta koordinat khusus serangan itu.

    Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan bahawa yang cedera termasuk beberapa kanak-kanak.

    Pertempuran sengit dan pengeboman berat Israel telah dilaporkan di pusat kem Nuseirat sejak tentera melancarkan operasi darat di bandar selatan Rafah pada awal Mei.

    Pejuang Palestin dan tentera Israel juga telah bertempur di kem Jabalia utara Gaza sejak beberapa hari sekarang.

    Saksi berkata, beberapa rumah lain menjadi sasaran serangan udara pada waktu malam di seluruh Gaza, dan serangan dan tembakan meriam turut mengenai bahagian Rafah pada waktu malam. – AFP

    Rakyat Palestin meratapi saudara mereka yang terkorban dalam serangan udara Israel di Nuseirat, di hospital Al Aqsa di Deir al Balah, Semenanjung Gaza pada 19 Mei. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...