BREST, 8 JAN – Serangan lanun kekal stabil di seluruh dunia pada 2023, pada tahap yang rendah, walaupun ketegangan di Laut Merah dan Lautan Hindi meningkat semula, demikian diumumkan oleh sebuah pusat keselamatan maritim hari ini.
Sebanyak 295 serangan lanun dan rompakan telah direkodkan tahun lepas, berbanding 300 pada 2022, jumlah paling rendah sejak statistik mula dikumpulkan pada 2008, menurut kajian tahunan oleh Pusat Kerjasama dan Kesedaran Maklumat Maritim (MICA), yang berpangkalan di Brest, barat laut Perancis.
“Jumlah keseluruhan serangan lanun dan rompakan adalah stabil,” kata laporan itu dengan trend menaik di Asia Tenggara yang diimbangi oleh penurunan sedikit di lengkok Caribbean.
“Secara global, kita melihat trend yang stabil, walaupun banyak kawasan tidak selamat di Lautan Hindi,” kata Eric Jaslin, ketua Pusat MICA, kepada AFP.
Penghujung 2023 ditandai dengan gelombang serangan oleh pejuang Huthi yang disokong oleh Iran di Yaman terhadap kapal-kapal dagang di sekitar Selat Bab-el-Mandeb, yang menghubungkan Laut Merah dengan Lautan
Hindi. Kira-kira 12 peratus perdagangan dunia melalui selat ini.
“Ancaman ini adalah ganas, dengan peluru berpandu dan dron yang dimuatkan dengan bahan letupan. Terdapat kebimbangan sebenar di sekitar selat ini”, tegas Jaslin.
Ditubuhkan pada 2016, Pusat MICA memantau trafik maritim global 24 jam sehari. Ia telah menjalin kerjasama dengan 65 syarikat perkapalan. – AFP
