KOTA KINABALU, 12 SEPT – Mariasella Harun bergelut apabila diserang memerang ketika berjoging di Taman Perdana di Tanjung Aru pada pagi kelmarin.
“Saya melihat sesuatu keluar dari longkang dan menyangka ia adalah kucing. Tetapi ia melompat keluar dan menggigit saya. Tiba-tiba, saya menyedari terdapat banyak yang datang menyerang. Saya tidak dapat berdiri apabila ia berlaku,” kata suri rumah berusia 40 tahun itu.
Dia melawan kumpulan memerang dalam kesakitan selama lima minit sehingga beberapa pengunjung taman yang berjoging datang membantunya. Malangnya, mereka juga diserang oleh haiwan itu.
Mariasella yang tercedera pada lengan, kaki dan kepala kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan, di mana dia diberi ubat antibakteria dan vaksin rabies.
“Doktor memberitahu saya bahawa saya perlu dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian, (tetapi saya) tidak pasti berapa lama. Mereka juga menyebut bahawa luka saya tidak dapat dijahit serta-merta kerana kemungkinan komplikasi akibat gigitan,” katanya ketika dihubungi.
Masih letih dan trauma dengan kejadian itu, Mariasella berkata bahawa dia berjoging di taman itu setiap hari dan melihat memerang di kawasan itu hanya minggu lalu.
“Apabila saya melihat beberapa memerang minggu lepas, saya mengambil video tetapi tidak mendekati mereka. Seperti biasa saya sampai ke taman pada pukul 6.10 pagi untuk berjoging. Selepas memanaskan badan, saya mula berlari menamatkan hanya 2km apabila serangan itu berlaku,” katanya.
Mariasella menambah, dia tidak tahu mengapa dia diserang kerana dia tidak mendekati atau memprovokasi memerang.
Video tular menunjukkan sekumpulan memerang berlari di sepanjang longkang ke arah Mariasella sebelum menyerangnya.
Kes beliau ialah kes pertama serangan memerang dan menurut pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Roland Niun, adalah luar biasa bagi haiwan yang umumnya tidak berbahaya ini bersikap agresif sedemikian.
“Haiwan itu kadang-kadang terlalu melindungi anaknya, dan disebabkan sifat untuk menjaga wilayahnya, haiwan itu menyerang manusia dengan gigi taringnya yang tajam,” katanya.
Menurut Niun, memerang itu dapat mengakses taman itu melalui pagar yang rosak yang kini telah dibaiki.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati memerang, walaupun ia kebiasannya tidak menyerang manusia. Tolong jangan beri makan atau provokasi dengan apa cara sekalipun,” tegasnya.
Memerang adalah haiwan yang dilindungi di bawah Jadual 2 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, dan biasanya ditemui di kawasan sungai atau tasik.
Populasi memerang tidak diketahui di Sabah tetapi kehadirannya merupakan penunjuk penting habitat sungai yang sihat. – ANN/The Star