VANCOUVER,28 MAC – Penyerang yang bersenjatakan pisau menikam dan membunuh seorang wanita dan mencederakan lima yang lain di sebuah perpustakaan di bandar Kanada, Vancouver kelmarin, menurut pihak polis.
Walaupun motif serangan masih belum segera diketahui, polis berkata mereka telah menahan suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dipercayai bertindak bersendirian.
Suspek dijangka akan disoal siasat oleh polis pada hari ini.
“Kami tahu – kami percaya kami tahu – siapa, apa, di mana dan bila. Itu adalah tugas kami untuk menentukan mengapa,” kata Sarjan Frank Jang dari jabatan polis Vancouver.
“Kami belum bercakap dengannya, tetapi suspek pernah bersemuka dengan polis sebelum ini. Dia mempunyai rekod jenayah lampau,” Jang memberitahu wartawan di tempat kejadian.

Kejadian berlaku pada waktu petang berhampiran perpustakaan di kawasan kejiranan mewah bandar pantai Pasifik.
Andrew Cocking, tinggal 500 meter dari perpustakaan tersebut, memberitahu AFP bahawa kawasan serangan berlaku pada kebiasaannya sangat sunyi.
“Saya melihat orang meneirma rawatan paramedik, mereka diberikan bantuan cemas di sebelah kenderaan dan berdekatan dengan sebuah restoran, serta dibawa menggunakan pengusung,” katanya.
“Sangat sedih, kerana salah seorang daripadanya adalah kanak-kanak,” katanya, dan menambah bahawa ayahnya berada di dalam perpustakaan tersebut 30 minit sebelum serangan berlaku.
Rangkaian siaran CCTV menyiarkan sebuah video yang menunjukkan suspek ditangkap, dilihat menikam dirinya di bahagian kaki sebelum pengsan dan ditahan oleh beberapa orang pegawai polis. – AFP