THE HAGUE, 28 Sept – Polis Belanda semalam telah menahan tujuh lelaki yang disyaki merancang untuk melakukan ‘serangan pengganas utama’ di acara awam menggunakan bahan peledak dan senapang AK-47, kata pejabat pendakwa raya hari ini.
“Polis telah menahan tujuh lelaki pada hari Khamis (semalam), disyaki berada di peringkat persiapan terkini untuk serangan pengganas utama di Belanda,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah salah seorang daripada suspek berniat untuk membunuh ‘banyak mangsa’.
Pendakwa dan penyiasat ‘yakin bahawa serangan pengganas dapat dipatahkan’ akibat penangkapan yang dilakukan di bandar-bandar Arnhem dan Weert, susulan operasi polis selama berbulan-bulan.

Pegawai telah meletakkan sekumpulan orang di bawah pengawasan, termasuk seorang tokoh utama yang berusia 34 tahun berasal dari Iraq yang dijatuhkan hukuman pada tahun 2017 atas kesalahan cuba untuk berada di kawasan yang dikuasai oleh kumpulan Islamic State (IS), menurut kenyataan itu.
Mereka yang ditangkap oleh pasukan polis khas elit antipengganasan dengan sokongan helikopter ialah lelaki berusia antara 21 hingga 34 tahun.
Suspek-suspek berasal dari Arnhem, bandar pelabuhan Rotterdam dan perkampungan berhampiran dengan kedua-dua bandar itu. Dua dari mereka juga disabitkan dengan kesalahan cuba untuk pergi ke Iraq atau Syria. – AFP