Friday, January 24, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan pisau di Jerman ragut dua nyawa, termasuk kanak-kanak

    BERLIN, 23 JAN – Seorang penyerang bersenjatakan pisau di Jerman membunuh seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan mencederakan dua orang lain kelmarin, kata polis, yang berjaya menangkap seorang suspek Afghanistan di tempat kejadian.

    Ia merupakan kes terbaharu dalam siri serangan pisau maut yang telah mengejutkan Jerman dalam beberapa bulan terakhir ini, meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan awam.

    Serangan berlaku di taman awam di pusat bandar Bavaria, Aschaffenburg, kira-kira jam 11:45 pagi, kata polis.

    Penyerang itu menyerang sekumpulan kanak-kanak dari pusat jagaan siang yang berada di taman itu, menurut media Jerman.

    “Dua orang terbunuh,” kata polis, manakala dua lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital.

    Gambar Freepik

    Suspek, seorang lelaki berusia 28 tahun dari Afghanistan, ditangkap ‘di tempat kejadian,’ tambah polis, tanpa menyatakan motif serangan.

    Media Jerman melaporkan bahawa lelaki itu dikatakan mengalami masalah psikologi di mana dia telah menerima rawatan. Suspek tinggal di pusat perlindungan di kawasan tersebut, lapor Der Spiegel.

    Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser berkata dia amat terkejut dengan serangan itu.

    “Penyiasatan akan menjelaskan latar belakang tindakan keganasan yang mengerikan ini,” katanya dalam kenyataan.

    Selepas serangan, polis berkata tidak ada ‘petunjuk mengenai suspek lain’ dan tiada risiko yang timbul terhadap orang ramai.

    Individu kedua yang ditahan oleh polis telah dianggap sebagai saksi.

    Pihak berkuasa telah mengawal selia taman di Aschaffenburg, kira-kira 36 kilometer di tenggara Frankfurt di barat Jerman.

    Polis menyatakan trafik kereta api di sekitar tempat kejadian telah digantung, dengan perkhidmatan mengalami kelewatan atau dialihkan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda