MOSCOW, 27 OKT – Seorang lelaki bersenjatakan pisau melancarkan serangan di sebuah pasar raya besar di bandar barat laut Rusia, Saint Petersburg baru-baru ini, mencederakan empat orang, kata penyiasat.
Walaupun jenayah menggunakan pisau adalah perkara biasa di Rusia, serangan awam seperti itu jarang berlaku. Motif jenayah itu tidak jelas.
Jawatankuasa Penyiasatan Saint Petersburg menyatakan bahawa lelaki yang tidak dinamakan itu “menyerang pembeli dan menikam mereka dengan pisau” di cawangan pasar raya besar Okei.
“Empat mangsa dengan kecederaan yang berbeza-beza tahapnya telah dimasukkan ke hospital dan suspek telah ditahan di tempat kejadian” kata penyiasat.
Jurucakap polis, Irina Volk menyatakan bahawa pegawai telah melucutkan senjata lelaki itu yang bertindak agresif.
Video yang dikeluarkan polis menunjukkan seorang lelaki berjaket hitam, dipercayai suspek, terbaring di atas lantai dengan kepalanya berbalut dan sebilah pisau dengan titisan darah di sekelilingnya.
Laman berita tempatan, Fontanka melaporkan seorang lelaki berusia 44 tahun telah ditangkap, dan polis menggambarkannya sebagai berwatak tidak bermoral.
Laman itu menyiarkan rakaman kamera keselamatan yang menunjukkan seorang lelaki berlari melalui lorong sambil memegang pisau dan sebotol minuman dan menyerang seorang wanita. Ia turut menunjukkan seorang pelanggan terbaring di atas lantai di lorong daging.
Seorang wanita yang mendakwa dia menyaksikan serangan itu memberitahu laman web berkenaan “seorang yang kelihatan aneh mula membaling botol champagne dan menarik pisau”, menyebabkan pelanggan untuk melarikan diri.
“Dia berlari ke arah seorang wanita di tengah-tengah kedai dan menikamnya di bahagian dada,” katanya. – AFP