Friday, January 3, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan seksual: Hotline untuk mangsa lelaki bakal dibuka

    TOKYO, 19 SEPT – Kerajaan Jepun akan menyediakan talian hotline untuk mangsa lelaki yang mengalami penderaan seksual, demikian diumumkan oleh seorang menteri hari ini, ketika negara itu berdepan dengan skandal penderaan di agensi kumpulan muzik lelaki terbesar.

    Hotline itu akan tersedia untuk kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa selama tiga bulan mulai Jumaat ini dan pakar-pakar akan menjawab panggilan bagi perkhidmatan kaunseling, menurut Pejabat Kabinet.

    “Kami berharap mangsa akan berasa selamat dan boleh berunding tanpa rasa ragu-ragu,” kata Ayuko Kato, menteri yang bertanggungjawab ke atas dasar berkaitan kanak-kanak, kepada pemberita.

    Tindakan itu dibuat ketika empayar kumpulan muzik lelaki, Johnny & Associates mengakui buat kali pertama awal bulan ini bahawa pengasas, Johnny Kitagawa, telah melakukan serangan seksual terhadap rekrut muda selama beberapa berpuluh-puluh tahun.

    Kitagawa meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 2019, setelah melahirkan kumpulan-kumpulan mega J-pop termasuk SMAP, TOKIO dan Arashi yang mempunyai peminat setia di seluruh Asia.

    Dakwaan bahawa dia mendera secara seksual lelaki muda yang ingin menjadi bintang muncul di media Jepun pada tahun 1999.

    Tetapi baru pada tahun ini dakwaan tersebut mencetuskan rasa ingin tahu sepenuhnya, berikutan dokumentari BBC dan pengakuan oleh mangsa-mangsa. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda