Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan sekumpulan geng cetus lebih 6,000 larikan diri

    HAITI, 7 OKT – Hampir 6,300 orang telah melarikan diri ekoran serangan senjata di tengah Haiti yang membunuh kira-kira 70 orang, menurut agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Hampir 90 peratus daripada mereka yang terpaksa berpindah tinggal bersama saudara-mara dalam keluarga angkat, sementara 12 peratus telah mendapatkan perlindungan di tempat lain termasuk sekolah, menurut laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi minggu lalu.

    Serangan di Pont-Sonde berlaku pada awal pagi Khamis dan ramai yang melarikan diri pada tengah malam.

    Sekumpulan geng “masuk sambil menembak dan memecah masuk ke dalam rumah untuk mencuri dan membakar. Saya hanya sempat mengambil anak-anak saya dan melarikan diri dalam kegelapan,” kata Sonise Mirano, 60, yang berkhemah bersama ratusan orang di sebuah taman di bandar pantai Saint-Marc yang berdekatan.

    Mayat-mayat terbaring di atas jalanan Pont-Sonde berikutan serangan di wilayah Artibonite, ramai daripada mereka terbunuh akibat tembakan di kepala, kata Bertide Harace, jurucakap Suruhanjaya Dialog, Rekonsiliasi dan Kesedaran untuk Menyelamatkan Artibonit, memberitahu stesen radio, Magik 9 pada Jumaat.

    Anggaran awal menyatakan jumlah mangsa yang terbunuh pada 20 orang, tetapi aktivis dan pegawai kerajaan menemui lebih banyak mayat ketika mereka mengakses kawasan di bandar itu.

    Antara mangsa ialah seorang ibu muda, anak damit yang baharu lahir dan seorang bidan, kata Herace.

    Perdana Menteri Garry Conille berjanji bahawa pelaku akan menghadapi hukuman maksimum di dalam kenyataannya di Saint-Marc pada Jumaat. “Adalah perlu untuk menangkap mereka, membawa mereka ke muka pengadilan, dan memenjarakan mereka.

    Mereka perlu membayar atas apa yang telah mereka lakukan, dan mangsa perlu menerima pampasan,” katanya. – AP

    Penduduk Haiti yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan bersenjata menerima makanan daripada pertubuhan bukan kerajaan di Saint-Marc pada 6 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda