PHNOM PENH, 8 JULAI – Kemboja kelmarin menuduh Thailand melakukan ‘percubaan jahat’ untuk mencemarkan nama baik negara jiran itu dengan melancarkan serangan siber, ketika perselisihan diplomatik semakin memuncak.
Negara jiran Asia Tenggara itu bertelagah sejak seorang tentera Kemboja terbunuh pada akhir Mei lalu ketika tentera berbalas tembak di wilayah sempadan yang dipertikaikan.
Banyak sempadan telah ditutup kerana Kemboja mengharamkan beberapa produk Thailand dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra telah digantung minggu lalu sementara menunggu siasatan etika terhadap kelakuannya semasa pertelingkahan itu.
Kementerian Komunikasi Kemboja berkata hantaran dari Thailand mendakwa Kemboja menggunakan penggodam Korea Utara untuk melancarkan serangan terhadap beberapa institusi Thailand.
“Kerajaan Diraja Kemboja tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan penggodam Korea Utara,” kata Kementerian Pos dan Telekomunikasi (MPTC) dalam satu kenyataan.
“MPTC menganggap tuduhan ini sebagai percubaan jahat Thailand untuk memburukkan reputasi Kemboja di persada antarabangsa,” tambahnya.
Ia juga mengeluarkan tuduhan balas bahawa kumpulan penggodam Thailand yang dikenali sebagai ‘BlackEye-Thai’ menyerang hampir semua sistem dalam talian kerajaan Kemboja sejak dua minggu lalu, tetapi berkata percubaan mereka itu telah digagalkan.
Paetongtarn digantung kerja selepas Mahkamah Perlembagaan mendapati terdapat sebab yang mencukupi untuk mengesyaki beliau melanggar etika kementerian ketika cuba untuk menghapuskan pertikaian sempadan. – AFP
