Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan Taliban sasar G4S

    LONDON, 29 Nov – Firma keselamatan Britain, G4S hari berkata bahawa lima orang kakitangannya terbunuh dan 32 orang yang lain cedera dalam satu serangan yang diakui dilancarkan oleh Taliban di salah satu perkarangannya di Kabul, semalam.

    Syarikat berkenaan, yang memberi pelindungan keselamatan untuk para diplomat Britain berkata seorang warga Britain dan empat penduduk Afghanistan terbunuh dalam serangan berkenaan.

    Militan telah meletupkan sebuah bom kenderaan di luar perkarangan sebelum cuba melawan untuk memasuki kawasan berkenaan.

    “Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengesahkan lima orang kakitangan kami terkorban dan 32 yang lain cedera, lima daripada mereka dalam keadaan kritikal,” menurut pengarah urusan Charlie Burbridge dalam satu kenyataan.

    “Kami komited terhadap peranan keselamatan kami dalam menyokong rakyat Afgahnistan dan kami berazam insiden seumpama ini tidak akan menghalang usaha utama berterusan yang dijalankan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

    Sebelum itu, jurucakap kementerian dalam negeri, Najib Danish memberitahu AFP bahawa 10 orang terkorban dalam serangan berkenaan, di mana kesemua mereka merupakan warganegara Afghanistan.

    Namun, jurucakap polis, Abdul Basir Mujahid berkata pihak berkuasa masih berusaha untuk mengenal pasti warganegara mangsa yang terkorban.

    Dia menambah, warga asing adalah antara yang tercedera namun tidak memberikan butiran terhadap kewarganegaraan mereka. Seorang jurugambar AFP yang berada di lokasi kejadian, menyaksikan sebuah van mini rosak akibat serangan, sementara bangunan-bangunan berdekatan di kawasan perindustrian di timur Kabul turut terjejas akibat serangan letupan tersebut.

    G4S turut menjadi sasaran serangan pada Mac lalu apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya sebelum tiba ke pintu masuk kompleks berkenaan, di mana dua orang penduduk awam terbunuh dalam serangan berkenaan. – AFP

    Pasukan keselamatan dan penyiasat Afghanistan berada di lokasi kejadian, sehari selepas serangan yang diakui dilancarkan oleh Taliban di Kabul, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda