Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan udara, berpuluh-puluh maut

    SANAA, 29 April – Serangan udara pakatan yang dipimpin Arab Saudi telah membunuh berpuluh-puluh pemberontak Yaman termasuk dua orang komander, menurut media negara itu semalam, dalam satu serangan ke atas pemberontak berikutan pembunuhan ketua politiknya.

    Semalam, pemberontak Huthi mengadakan pengebumian awam bagi ketua Majlis Politik Tertinggi, Saleh al-Sammad, yang secara efektif menjadi penolong pemerintah pemberontak, yang terbunuh minggu lalu dalam satu serangan udara yang diakui dilancarkan oleh Arab Saudi dan para sekutunya.

    Pengebumiannya itu dibuat beberapa jam selepas televisyen negara Arab Saudi Al-Ekhbariya berkata dua pemberontak berpangkat tinggi menjadi antara lebih 50 pemberontak Huthi yang terbunuh dalam serangan terbaharu sepanjang malam di ibu negara, Sanaa.

    Dalam satu ucapan mengenai Sammad pada malam semalam, ketua pemberontak Abdul Malik al-Huthi mendakwa Arab Saudi dan sekutunya telah menyasarkan pinggir Dataran Sabaeen tatkala para penyokong Huthi berhimpun bagi pengebumian Sammad.

    Sementara itu, televisyen pemberontak Al-Masirah telah menyiarkan imej asap berwarna hitam di luar dataran itu, di mana penduduk Yaman melaungkan slogan penentangan ke atas Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Akan tetapi tarikh rakaman itu tidak dapat disahkan dengan segera.

    Gambar menunjukkan potret Saleh al-Sammad yang terbunuh semasa majlis pengebumiannya di sebuah masjid di ibu negara Yaman, Sanaa, semalam, selepas terkena serangan udara pimpinan Arab Saudi minggu lalu. – AFP

    Pemberontak telah terlibat dalam peperangan sejak 2015 bersama pakatan tentera yang dipimpin Arab Saudi untuk memulihkan kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa kembali berkuasa.

    Televisyen negara Arab Saudi, Al-Arabiya berkata serangan sepanjang malam telah menyasarkan kementerian dalam negeri di Sanaa, yang dikawal pemberontak.

    Pemberontak Huthi, yang dibantu oleh pesaing serantau Arab Saudi, Iran, mengesahkan serangan udara ke atas Sanaa namun tidak memberikan sebarang maklumat mengenainya.

    Para pemberontak, yang datang dari utara Yaman, telah mengawal Sanaa dan sebahagian besar utara negara itu yang bersempadan dengan Arab Saudi dan pelabuhan utama Hodeida di pantai Laut Merah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda