Serangan udara gegar bandar Hodeida, Yaman

DUBAI, 16 Dis – Serangan udara dan pertempuran ganas telah menggegarkan pinggir pelabuhan Hodeida Yaman yang dikuasai pemberontak semalam, menurut beberapa sumber pro-kerajaan dan penduduk hari ini, sekalipun selepas gencatan senjata yang ditaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kira-kira 29 pejuang termasuklah 22 orang pemberontak Huthi, terbunuh malam semalam dalam pertempuran dan serangan udara di wilayah Hodeida, menurut sumber ketenteraan prokerajaan kepada AFP.

Dia menambah bahawa tujuh orang pemberontak telah ditawan dalam satu serangan di daerah Al-Durayhimi, yang terletak kira-kira 20km dari selatan bandar Hodeida.

Seorang penduduk di bandar berkenaan yang dihubungi menerusi panggilan telefon berkata beberapa pertempuran berlangsung ‘ganas’ dan bunyi jet-jet pejuang boleh didengari sepanjang malam sehingga jam 5 subuh hari ini.

Pertempuran berlaku beberapa hari selepas gencatan senjata yang disokong PBB mula berkuat kuasa, sebahagian perjanjian yang dipersetujui antara pihak bertelagah Yaman di Sweden.

Gencatan senjata antara tentera kerajaan Yaman yang disokong pakatan tentera pimpinan Arab Saudi dan pemberontak Huthi adalah berikutan pengunduran beberapa hari antara para pejuang daripada kedua-dua belah pihak.

Dalam satu ulasan yang dikeluarkan semalam menerusi agensi berita Saba yang dikendalikan pemberontak, pihaknya menuduh tentera prokerajaan kerana melancarkan serangan pengeboman ke atas kawasan kejiranan di bandar Hodeida.

Perjanjian gencatan senjata pada Khamis lalu telah disaksikan sebagai langkah penting dalam mengakhiri konflik berdarah di Yaman di mana lebih 14 juta orang diambang kebuluran. – AFP