GAZA CITY, 11 OGOS – Pasukan penyelamat di Gaza melaporkan bahawa serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal telah membunuh 93 orang kelmarin, mendorong kecaman antarabangsa walaupun Israel berkeras bahawa ia menyasarkan kumpulan pejuang.
AFP tidak dapat mengesahkan jumlah kematian tersebut secara bebas, yang jika ia disahkan, akan menjadi salah satu serangan tunggal yang paling besar selama 10 bulan perang antara Israel dan pejuang Palestin sejak serangan Hamas pada 7 Oktober.
Pengeboman ke atas masjid dan sekolah agama Al-Tabieen ini mendapat kritikan dari seluruh negara di Timur Tengah dan rantau lain di samping gesaan untuk gencatan senjata, selepas pengantara antarabangsa menjemput pihak yang bertelagah untuk menyambung semula rundingan ke arah perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan yang telah lama dicari.
Pasukan pertahanan awam di wilayah yang dikuasai Hamas berkata tiga peluru berpandu Israel mengenai kompleks di Gaza City ketika orang ramai sedang menunaikan solat Subuh. Pihak tentera mengesahkan mereka telah menggunakan ‘tiga peluru berpandu yang tepat’.
Mahmud Bassal, jurucakap agensi pertahanan awam, berkata 11 kanak-kanak dan enam wanita adalah antara 93 yang maut di pusat perlindungan sekolah itu, ‘dan terdapat banyak bahagian tubuh yang tidak dapat dikenal pasti’.
“Pihak tentera menjatuhkan peluru berpandu ke atas mereka ketika mereka sedang berdoa,” kata seorang wanita, yang sedang berkabung atas kematian seorang kanak-kanak yang dibungkus dengan beg plastik.
“Mereka yang berada di dalam masjid semuanya terbunuh,” kata penduduk tempatan, Abu Wassim. “Malah lantai di atas, tempat wanita dan kanak-kanak sedang tidur, terbakar sepenuhnya.” – AFP


