ADEN, 27 Feb – Tujuh tentera Yaman maut kelmarin apabila serangan udara pimpinan Arab Saudi, yang menyasarkan pemberontak Houthi, tersalah tembak, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber tentera.
Sumber itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata serangan tersebut telah terkena tentera pakatan antarabangsa yang dibantu oleh kerajaan Yaman di daerah Nihm berhampiran ibu kota Sanaa.
Insiden itu turut menyaksikan 20 lagi cedera, termasuk pegawai tentera berpangkat tinggi yang menyelia serangan terhadap pemberontak Houthi yang dibantu Iran, katanya.
Sementara itu, seorang komander tentera memaklumkan Xinhua melalui telefon bahawa “sebuah pesawat pasukan pimpinan Arab Saudi telah menembak beberapa peluru berpandu yang secara tidak sengaja telah membunuh beberapa anggota pasukan tentera darat kami.
“Ini adalah kes tersilap sasaran. Kami mendesak Pejabat Presiden menjalankan siasatan berhubung insiden ini,” kata beliau yang enggan identitinya didedahkan.
Sumber yang rapat dengan kerajaan Yaman pula berkata, “Mungkin koordinasi tidak dilakukan dengan betul. Jadi, serangan udara pimpinan Arab Saudi telah menyasarkan pasukan sendiri. Kami masih tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.”
Tentera pakatan pimpinan Arab Saudi telah melakukan serangan udara serupa yang juga tersalah tembak dan menyebabkan berpuluh-puluh anggota tentera yang setia kepada Presiden Yaman, Abdu-Rabbu Mansour Hadi, terbunuh. – Bernama