BANGKOK, 28 JUN – Tentera Myanmar melancarkan serangan udara ke atas sebuah perkampungan dan membunuh 10 orang awam, menurut laporan penduduk tempatan dan media, hari ini.
Pertempuran telah memusnahkan sebahagian besar Myanmar sejak rampasan kuasa pada 2021, dengan junta berperang dengan pemberontak etnik dan puluhan pasukan People’s Defence Force baharu di seluruh negara.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh tentera melakukan pembunuhan di luar bidang kehakiman, menyerang perkampungan dan melancarkan serangan udara sebagai hukuman terhadap penentang.
Sebuah jet tentera telah menjatuhkan tiga biji bom ke perkampungan Nyaung Kone di wilayah utara Sagaing petang kelmarin, menurut pejuang anti rampasan kuasa, Ko Zaw Tun, dari perkampungan itu.
Seramai 10 orang terbunuh dan lapan lagi cedera, dedahnya.

“Tiada pertempuran berlaku, namun mereka mengebom perkampungan,” dia memberitahu AFP, dan menambah bahawa 11 buah rumah telah musnah dalam serangan.
Seorang penduduk di Nyaung Kone turut memberitahu AFP bahawa 10 orang terbunuh dalam serangan udara itu.
Dia dan penduduk lainnya telah membakar mayat mangsa terkorban pada malamnya, dan enggan mendedahkan namanya kerana bimbang diambil tindakan.
“Kami tidak mengetahui apa rancangan tentera seterusnya. Jadi, kami menjalankan upacara pengebumian secepat mungkin,” katanya.
BBC Burma dan media tempatan lainnya turut melaporkan serangan udara itu, dengan beberapa media menyatakan sembilan orang terbunuh.
Selepas lebih dua tahun melancarkan rampasan kuasa, pihak tentera bergelut untuk menghancurkan pembantah terhadap pemerintahnya.
Tentera telah melancarkan lebih 300 serangan udara pada tahun lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Mac. – AFP