BANGKOK, 12 MEI – Serangan udara tentera Myanmar di sebuah kampung di wilayah Sagaing, tengah negara itu, mengorbankan sehingga 22 orang termasuk 20 pelajar dan dua guru apabila sebuah sekolah dibom hari ini, menurut kumpulan penentang, petugas bantuan dan laporan media tempatan.
Serangan berlaku pada waktu pagi di Kampung Ohe Htein Twin, Daerah Tabayin, yang juga dikenali sebagai Depayin. Puluhan lagi pelajar turut cedera dalam kejadian itu.
Menurut anggota kumpulan penentang White Depayin People’s Defence Force, sebuah jet pejuang menggugurkan bom tepat ke atas sekolah yang dikendalikan oleh pergerakan prodemokrasi. Katanya, kira-kira 50 orang turut cedera dan tiga rumah berhampiran turut rosak. Dia enggan dikenali kerana bimbang ditangkap pihak tentera.
Tiada pertempuran dilaporkan berlaku di kawasan itu sebelum serangan, namun wilayah Sagaing sememangnya merupakan kubu kuat penentangan terhadap junta tentera yang merampas kuasa daripada kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Nasional pembangkang, Nay Phone Latt, mengesahkan jumlah korban dan memberi amaran angka itu mungkin meningkat. Dia turut menuduh tentera menyasarkan orang awam di sekolah, hospital dan biara atas alasan kononnya pejuang penentang berlindung di sana.
Laporan media bebas Myanmar menyatakan angka korban antara 17 hingga lebih 20 orang. Seorang sukarelawan tempatan berkata, 12 pelajar disahkan terkorban dan sehingga 50 lagi cedera.
Tentera Myanmar semakin kerap melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pertahanan prodemokrasi di wilayah Sagaing, berhampiran sempadan India. Penentang tidak mempunyai keupayaan mempertahankan diri daripada serangan udara.
Pada 2022, serangan helikopter tentera di kampung berdekatan membunuh sekurang-kurangnya 13 orang termasuk tujuh kanak-kanak. Pada April 2023, serangan udara membunuh sehingga 160 orang termasuk ramai kanak-kanak dalam satu upacara di daerah Kanbalu.
Serangan udara Myanmar terus mendapat perhatian antarabangsa walaupun selepas gempa bumi dahsyat pada 28 Mac lalu, apabila kedua-dua pihak – tentera dan kumpulan penentang – sepatutnya mengisytiharkan gencatan senjata bagi memudahkan bantuan disalurkan. – AP
