Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangga, jus ubi bit ganti pewarna tiruan dalam makanan?

    ST. LOUIS – Ketika tekanan semakin me-ningkat untuk mengeluarkan warna tiruan daripada bekalan makanan Amerika Syarikat (AS), perubahan mungkin bermula di meja makmal Abby Tampow.

    Pada petang April, saintis itu berdiri di depan pinggan kecil pewarna merah, masing-masing dengan warna delima yang berbeza sedikit. Tugasnya?

    Untuk memadankan warna sintetik yang digunakan selama bertahun-tahun dalam botol vinaigrette raspberi komersial – tetapi dengan hanya menggunakan bahan semula jadi.

    “Dengan warna merah ini, ia memerlukan lebih warna jingga,” kata Tampow, mencampurkan jus lobak merah hitam keunguan dengan sedikit beta-karotena, warna merah jingga yang diperbuat daripada alga.

    Tampow adalah sebahagian daripada pasukan di Sensient Technologies Corp., salah satu firma pewarna terbesar di dunia, yang bergegas membantu pengeluar sos salad – bersama-sama dengan ribuan perniagaan Amerika yang lain – memenuhi permintaan untuk membaik pulih warna yang digunakan untuk mencerahkan produk daripada bijirin kepada minuman sukan.

    “Kebanyakan pelanggan kami telah memutuskan inilah masa mereka akan beralih kepada warna semula jadi,” kata Dave Gebhardt, pengarah teknikal kanan Sensient. Dia menyertai lawatan ke kilang Sensient Colors baru-baru ini di kawasan kejiranan utara St. Louis.

    Minggu lalu, pegawai kesihatan AS mengumumkan rancangan untuk memujuk syarikat makanan untuk menghapuskan pewarna tiruan berasaskan petroleum secara sukarela menjelang akhir 2026.

    Jobe Washington (kanan) dan Dwight Brown menggunakan penapis besar untuk mencampurkan pewarna kuning di Sensient Technologies Corp di St Louis. – AP
    Gula-gula menggunakan pewarna makanan dipamerkan di makmal Sensient. – AP
    Abby Tampow bekerja di makmal Sensient Colours di St Louis. – AP
    Saintis Anuj Bag memerhati gula-gula berputar dalam tong dram sementara disalut dengan pewarna kuning ketika menunjukkan proses mencipta pewarna makanan baharu di makmal Sensient. – AP
    Saintis Nicole Carey bekerja dalam makmal untuk memadankan pewarna makanan di Sensient Technologies Corp di St Louis. – AP

    Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr menggelarnya sebagai ‘sebatian beracun’ yang membahayakan kesihatan dan perkembangan kanak-kanak, memetik bukti terhad tentang potensi risiko kesihatan.

    Kempen persekutuan itu susulan beberapa siri undang-undang negeri dan keputusan pada Januari untuk mengharamkan pewarna tiruan yang dikenali sebagai Red 3 – ditemui dalam kek, gula-gula dan beberapa ubat – disebabkan risiko kanser dalam haiwan makmal.

    Pempengaruh media sosial dan pengguna biasa telah meningkatkan gesaan supaya warna tiruan dikeluarkan daripada makanan.

    PERUBAHAN KEPADA WARNA SEMULA JADI MUNGKIN TIDAK SEGERA

    Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan membenarkan kira-kira tiga dozen bahan tambahan warna, termasuk lapan pewarna sintetik yang tinggal.

    Namun melakukan perubahan daripada pewarna berasaskan petroleum kepada warna yang diperoleh daripada sayur-sayuran, buah-buahan, bunga dan juga serangga bukan mudah, cepat atau murah, kata Monica Giusti, pakar warna makanan Universiti Ohio State.

    “Kajian demi kajian telah menunjukkan bahawa jika semua syarikat membuang warna sintetik daripada formulasi mereka, bekalan alternatif semula jadi tidak akan mencukupi,” kata Giusti. “Kami belum benar-benar bersedia.”

    Ia boleh mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk menukar satu produk daripada pewarna sintetik kepada yang semula jadi. Dan ia mungkin memerlukan tiga hingga empat tahun untuk membina bekalan produk botani yang diperlukan untuk peralihan seluruh industri, kata pegawai Sensient.

    “Ia tidak seperti terdapat 150 juta paun jus bit duduk menunggu peluang sekiranya seluruh pasaran boleh bertukar,” kata Paul Manning, ketua eksekutif syarikat itu.

    “Berpuluh-puluh juta paun produk ini perlu ditanam, dikeluarkan dari tanah, diekstrak.”

    Untuk menghasilkan pewarna semula jadi, Sensient bekerjasama dengan petani dan pengeluar di seluruh dunia untuk menuai bahan mentah, yang biasanya tiba di kilang sebagai pekatan dalam bentuk pukal.

    Ia diproses dan disebatikan menjadi cecair, butiran atau serbuk dan kemudian dihantar ke syarikat makanan untuk ditambahkan kepada produk akhir.

    Pewarna alami lebih sukar dibuat dan digunakan daripada warna tiruan. Ia kurang konsisten dalam warna, kurang stabil dan tertakluk kepada perubahan yang berkaitan dengan keasidan, haba dan cahaya, kata Manning.

    Biru amat sukar. Tidak banyak sumber semula jadi warna dan yang wujud mungkin sukar dikekalkan semasa pemprosesan.

    Selain itu, kos warna alami adalah kira-kira 10 kali lebih tinggi untuk dibuat berbanding versi sintetik, Manning menganggarkan.

    “Bagaimanakah awda mendapatkan kejelasan, prestasi dan tahap keselamatan yang sama dalam produk seperti yang awda peroleh dalam produk sintetik?” katanya.

    “Timbulnya kerumitan berkaitan dengan isu tersebut.”

    SERANGGA BOLEH JADIKAN ‘MERAH MUDA BARBIE’ SECARA SEMULA JADI

    Syarikat-syarikat telah lama menggunakan pewarna sintetik Red 3 untuk mencipta apa yang disifatkan oleh pegawai Sensient sebagai ‘merah muda Barbie.’

    Untuk mencipta warna itu dengan sumber semula jadi mungkin memerlukan penggunaan cochineal, serangga sebesar lada biji.

    Serangga betina itu mengeluarkan pigmen merah terang, asid karminik dalam badan dan telur. Pepijat hanya hidup pada kaktus pear berduri di Peru dan di tempat lain.

    Kira-kira 70,000 serangga cochineal diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram, kira-kira 2.2 paun, pewarna.

    “Adalah menarik bagaimana warna yang paling eksotik ditemui di tempat yang paling eksotik,” kata Norb Nobrega, yang menjelajah dunia mencari warna baharu untuk Sensient.

    Penyokong kesihatan telah lama menyeru agar pewarna tiruan dikeluarkan daripada makanan, memetik kajian bercampur yang menunjukkan ia boleh menyebabkan masalah neurobehavioral, termasuk hiperaktif dan masalah tumpuan, pada sesetengah kanak-kanak.

    FDA mengatakan pewarna yang diluluskan adalah selamat apabila digunakan mengikut peraturan dan ‘kebanyakan kanak-kanak tidak mempunyai kesan buruk apabila mengambil makanan yang mengandungi bahan tambahan warna.’

    Tetapi pengkritik menyatakan warna tambahan adalah komponen utama makanan ultraproses, yang menyumbang lebih 70 peratus daripada diet AS dan telah dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan kronik, termasuk penyakit jantung, diabetes dan obesiti.

    “Saya menyokong sepenuhnya pengeluaran pewarna makanan tiruan daripada rantaian makanan,” kata Marion Nestle, pakar dasar makanan.

    “Ia hanya bersifat kosmetik, tidak mempunyai tujuan kesihatan atau keselamatan, adalah penanda makanan ultraproses dan mungkin berbahaya kepada sesetengah kanak-kanak.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda