KUALA LUMPUR, 1 April – Penyedia penyelesaian minyak dan gas, Serba Dinamik Holdings Bhd kini dalam usaha melaksanakan pembelian strategik syarikat teknologi minyak dan gas di Amerika Syarikat, Australia dan negara Eropah sebagai sebahagian pelan pengembangan luar negaranya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata perbincangan aktif sedang dijalankan dan pihaknya berharap beberapa janji niaga utama dapat dimuktamadkan pada minggu ketiga bulan depan.
“Kami akan mengumumkannya secara berperingkat kepada pemegang saham.
“Mereka (syarikat yang ingin dimiliki Serba Dinamik) mempunyai keupayaan dan teknologi yang boleh digunakan oleh sektor lain seperti penjanaan tenaga dan utiliti air,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2018 di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, syarikat juga merancang untuk meningkatkan sumbangan perolehan segmen utiliti air dan penjanaan tenaga kepada 35 peratus daripada 20 peratus ketika ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Abdul Karim, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan, berkata rancangan itu merupakan sebahagianpelan perluasan ke dalam pasaran baharu.
Serba Dinamik kini beroperasi Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika.
Syarikat itu mencatat peningkatan keuntungan bersih pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 kepada RM306.51 juta daripada RM151.44 juta setahun sebelumnya manakala perolehan melonjak kepada RM2.71 bilion daripada RM1.41 bilion,
Asia Barat terus menjadi penyumbang perolehan tertinggi berasaskan rantau kepada syarikat dengan 59.2 peratus daripada perolehan 2017.
Nilai perolehan kontrak semasa Serba Dinamik berada pada RM6.6 bilion, dengan 65 peratus disumbangkan oleh segmen minyak dan gas. – Bernama