BELGRADE, 5 JAN – Serbia mencatatkan tahun paling panas dalam sejarahnya pada 2024, menurut pejabat meteorologi negara Balkan itu dalam laporan minggu ini.
Suhu purata udara permukaan pada tahun lalu ialah 13.3 darjah Celsius (°C), iaitu 2.3°C lebih tinggi berbanding purata bagi tempoh 1991-2020 dan hampir 1.0°C lebih tinggi daripada tahun terpanas sebelumnya, 2023, menurut laporan Perkhidmatan Hidro-Meteorologi Negara pada Jumaat.
Di peringkat global, agensi iklim dan cuaca Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa 2024 dijangka menjadi tahun terpanas pernah direkodkan sejak pencatatan data bermula, menutup satu dekad dengan peningkatan suhu luar biasa akibat aktiviti manusia.
Pemimpin PBB dan saintis iklim menyalahkan pemanasan global sebagai punca pelbagai bencana alam, termasuk banjir, kebakaran, gelombang haba, dan taufan yang melanda dunia pada 2024.
Serbia turut mengalami beberapa siri gelombang haba pada bulan Jun, Julai, dan Ogos.
Pejabat meteorologi Serbia melaporkan jumlah hari tertinggi dengan suhu melebihi 35°C, bilangan malam tropika paling banyak pernah direkodkan, serta jumlah hari bersalji dan beku yang paling sedikit dalam sejarah.
Ahli fizik, Irida Lazic, menyatakan bahawa iklim Serbia pada tahun lalu lebih menyerupai kawasan Mediterranean berbanding Balkan.
“Julat suhu pada 2024 adalah tipikal bagi kawasan pantai Sepanyol, Itali, atau Greece pada tempoh 1961-1990,” tulis Lazic, yang juga ahli Fakulti Fizik di Belgrade, dalam laman web iklim, Klima 101. – AFP