BELGRADE, 6 SEPT – Juara Euro 2024, Sepanyol, terikat dengan Serbia dalam perlawanan pertama mereka sejak menjuarai Euro, sementara Cristiano Ronaldo mencatat sejarah dengan menjaringkan gol ke-900 sepanjang kariernya ketika Portugal menewaskan Croatia dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, kelmarin.
Lapan pemain Sepanyol yang beraksi dalam final Euro 2024 menentang England dua bulan lalu memulakan perlawanan menentang Serbia di Belgrade. Antaranya, Lamine Yamal dari Barcelona, yang beberapa kali dinafikan jaringan oleh penjaga gol tuan rumah, Predrag Rajkovic.
Pasukan kendalian Luis de la Fuente, yang juga merupakan juara bertahan Liga Negara-Negara UEFA, kini berharap untuk mencatat kemenangan pertama dalam Kumpulan 4 Liga A apabila mereka bertemu Switzerland di Geneva pada Ahad.
Dalam perlawanan lain, Switzerland tewas 2-0 kepada Denmark kelmarin, dengan Patrick Dorgu dan kapten Pierre-Emile Hojbjerg menjaringkan gol lewat untuk pasukan tuan rumah di Copenhagen.
Switzerland terpaksa menghabiskan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Nico Elvedi dan Granit Xhaka dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Di Lisbon, Ronaldo mencipta sejarah dengan gol ke-900 sepanjang kariernya yang menjadi penentu kemenangan ketika Portugal menewaskan Croatia 2-1 dalam Kumpulan A1.
Ronaldo, 39, yang tidak menjaringkan sebarang gol dalam Euro 2024, menyempurnakan hantaran silang Nuno Mendes pada minit ke-34 di Estadio da Luz. – AFP