PHNOM PENH, 25 FEB – Polis Kemboja hari ini berkata mereka telah menyerbu dua buah lokasi di sebuah bandar di sempadan Thailand dalam tindakan membanteras pusat penipuan dalam talian dan menahan lebih 200 warga asing.
Serbuan yang dilakukan pada hujung minggu di bandar Poipet, menemui 230 warga asing, termasuk 123 warga Thailand, selepas siasatan selama tiga bulan, kata Polis Negara Kemboja dalam satu kenyataan.
“Warga asing ini menjalankan aktiviti dalam talian secara haram dengan warga China sebagai ketua,” kata kenyataan itu, sambil menambah mereka menerima kerja haram itu secara sukarela.
Ia berkata polis Kemboja sedang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Thailand berhubung warga Thailand itu untuk mengenal pasti ketua kumpulan tersebut.
Polis Kemboja juga menyoal warga asing lain dan akan mengambil langkah undang-undang lanjut terhadap mereka, tambahnya.
Serbuan itu berlaku ketika Thailand, Kemboja dan Myanmar membanteras pusat penipuan haram yang telah berkembang di seluruh Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Myanmar dan Kemboja telah menjadi lokasi yang digemari untuk pusat dalam industri bernilai berbilion dolar setahun.
Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa, mengadakan perbincangan di Myanmar pada hujung minggu dengan rakan sejawatannya, Than Shwe serta ketua junta, Min Aung Hlaing, yang termasuk masalah pusat penipuan. – AFP
