Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serbuan rampas 115.09kg dadah bernilai RM11.40 juta

    JOHOR BAHRU, 5 NOV – Polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 115.09 kilogram (kg) bernilai RM11.4 juta, menerusi serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan di Taman Bukit Indah dekat Iskandar Puteri pada 3 November lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata operasi yang dijalankan selama dua hari oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu, turut menahan penjaga stor lelaki tempatan berusia 55 tahun. Beliau berkata modus operandi sindiket adalah dengan menyewa rumah teres yang berpagar dan berkawal bagi mengaburi kegiatan terlarang itu.

    “Hasil siasatan, stor tersebut juga dipercayai digunakan untuk memproses dadah serbuk kepada cecair,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

    Beliau berkata dadah yang dirampas terdiri daripada 25.24kg pil ekstasi, 23.10kg syabu, 22.43kg serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 13.40kg ketamin, 11.51kg ekstasi, 19.41kg pil erimin 5 dan pelbagai peralatan memproses.

    “Sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000 turut disita dalam serbuan,” katanya.

    Ab Rahaman berkata pihaknya sedang giat mengesan dalang dan ahli sindiket berkenaan, yang dipercayai telah aktif mengedar sejak Julai lepas.

    “Kita percaya sindiket ini ada rangkaian untuk mengambil bekalan dadah di dalam negara, sebelum diedar untuk pasaran tempatan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata penjaga stor yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau, dadah dan trafik itu, direman selama tujuh hari bermula semalam. – Bernama

    Datuk Ab Rahaman Arsad menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda