Oleh Johary Indan
TUARAN – Mengekalkan kualiti keluaran membolehkan serbuk kopi wangi asli Tenom yang diusahakan oleh Jais Banah, 84, terus dikenali di daerah ini.
Serbuk kopi wangi asli Tenom diusahakan Jais atau lebih dikenali ‘Haji Kopi’ menerusi Petiah Enterprise mempunyai cita rasa ekselusif yang hanya terdapat di daerah ini.
Pada usia warga emas, Jais sebagai usahawan bumiputera cekal meneruskan perniagaan serbuk kopi wangi asli Tenom di sebuah premis di Pekan Tuaran yang dibuka sejak 2005.
Menurutnya serbuk kopi wangi asli keluaran Petiah Enterprise sudah terjual hingga ke Semenanjung, apabila ramai pelawat dari sana menjadikan produk keluarannya sebagai buah tangan. “Serbuk kopi wangi asli yang cukup terkenal di kalangan penggemar kopi di daerah ini dan sekitarnya dijual RM20 sekilogram, dengan hasil pendapatan mencapai RM5,000 sebulan,” katanya kepada Bernama.
Secara kecil-kecilan
Jais yang berasal dari Kampung Suasa, Beaufort dan menetap di Kampung Rugading selepas berkahwin di situ sejak 1983 memulakan perniagaan memproses serbuk kopi secara kecil-kecilan di kampung itu dengan modal RM1,000 untuk membeli mesin pengisar, sebelum berpindah ke sebuah premis perniagaan di pekan ini.


Beliau pada awal perniagaan mendapat bekalan biji kopi dari beberapa kilang pembekal di Tenom, daerah yang cukup terkenal dengan pengeluaran hasil biji dan serbuk kopi asli di Sabah.
“Bagaimanapun, selepas wujud kilang kopi di Tuaran yang turut menjual biji kopi Tenom belum diproses, saya menghentikan pengambilan bekalan terus dari sana dan beralih kepada kilang di Tuaran, kerana lebih mudah, dekat, menjimatkan masa dan perbelanjaan,” katanya. Jais mengakui untuk menghasilkan serbuk kopi wangi asli, memerlukan kaedah betul dalam campuran gula, garam dan planta memastikan aroma sebenar kopi wujud, sekali gus dapat memenuhi cita rasa penggemar minuman yang cukup terkenal itu.
Katanya tidak ada rahsia sebalik perniagaan serbuk kopi wangi asli Petiah Enterprise itu mampu bertahan lama, hanya mengekalkan kualiti keluaran memastikan pelanggan puas hati dengan serbuk kopi dibeli dari premis berkenaan yang sukar diperoleh di tempat lain.
Beliau berkata sebelum mahir dalam bidang itu, dia mempelajari kaedah memproses biji kopi menjadi serbuk berkualiti daripada serang pekerja kilang kopi di daerah ini sejak 14 tahun lepas.
“Kerana minat mendalam pada perniagaan menjual serbuk kopi, saya pernah mencuba memproses sendiri biji kopi, namun percubaan itu menghadapi kegagalan apabila serbuk kopi dihasilkan tidak menepati rasa sebenar kopi asli.
“Bagaimanapun, saya tidak putus asa dengan terus memburu ilmu penghasilan serbuk kopi asli, sehingga dipertemukan dengan seorang pekerja kilang memproses kopi asli Tenom di pekan kecil Berungis, Tuaran, kira-kira empat belas tahun lalu.
“Atas persetujuan individu terbabit, saya jemput beliau datang ke rumah di Kampung Rugading, semata-mata mengajar kaedah menghasilkan serbuk kopi asli dengan bayaran RM70 dan hasilnya saya berjaya menguasai ilmu sekali gus menjadikan saya pengusaha serbuk kopi Tenom di Tuaran,” katanya.
Kepada penggemar kopi wangi asli, Jais mempelawa mereka mengunjungi premis perniagaannya yang beroperasi dari jam 7 pagi hingga jam 3 petang setiap hari. – Bernama