LONDON, 29 Jun – Serena Williams akan berdepan Arantxa Rus dalam pusingan pertama kejohanan Wimbledon di mana juara tujuh kali itu akan memulakan kempen memburu kejuaraan Grand Slam pertama sejak menjadi ibu.
Serena menjadi pilihan ke-25 oleh kakitangan All England Club apabila jatuh ke kedudukan 183 dalam ranking WTA selepas berehat lama kerana melahirkan anak pertama.
Pemain berusia 36 tahun itu melahirkan anak perempuannya September lalu dan hanya beraksi dalam beberapa perlawanan tahun ini.
Serena yang belum merangkul kejuaraan besar sejak Terbuka Australia tahun lepas sebelum cuti melahirkan anak, membuat penampilan semula di Grand Slam dalam Terbuka Perancis baru-baru ini.
Dia tidak menjadi pilihan tetapi mara ke 16 terakhir sebelum mengalami kecederaan menjelang pertembungan dengan Maria Sharapova.
Juara 23 kali Grand Slam memulakan kempen Wimbledon pertama sejak 2016 menentang pemain nombor 107 dunia dari Belanda, Rus sebelum perlawanan pusingan kedua menentang Tereza Smitkova atau Viktoriya Tomova.
Laluan Serena semakin sukar di mana dia mungkin bertemu pilihan kelima, Elina Svitolina dalam pusingan ketiga.
Serena yang menjuara iWimbledon dalam dua penampilan terakhirnya pada 2015 dan 2016, mungkin akan bertemu pilihan ke-10, Madison Keys dalam 16 terakhir. – AFP