Serena jejak kaki ke final

LONDON, 12 JULAI – Kemenangan mengagumkan Tiger Woods pada Masters tahun ini ketika umurnya 43 tahun memberi inspirasi kepada Serena Williams, yang bakal memasuki usia 40 tahun dalam tiga tahun saja lagi, ketika beliau melangkah ke final Wimbledon buat kali ke-11, esok.

Jika Serena berjaya menewaskan Simona Halep esok, beliau bakal menyamai rekod 24 kemenangan terbanyak yang dilakukan Margaret Court di Grand Slam.

Serena juga percaya teknologi membantunya untuk meneruskan kejayaan selepas berehat panjang susulan melahirkan anak.

Bintang Amerika Syarikat itu hanya tewas tiga permainan kepada lawannya di separuh akhir, Barbora Strycova dengan kemenangan 6-1, 6-2 dalam tempoh kurang daripada sejam, malam tadi.

“Saya rasa teknologi sudah banyak berubah,” kata Serena yang berumur 37 tahun dan juga finalis tertua dalam pertandingan Grand Slam di era moden.

“Hanya itu alasan mengapa saya mampu terus bertanding. Saya rasa jika kita mempunyai teknologi ini 20 tahun lalu, mungkin Michael Jordan juga masih bermain bola keranjang.

“Saya rasakan kita mengetahui lebih banyak perkara mengenai tubuh badan kita.

“Perkara yang saya lakukan kini adalah berbeza dengan apa saya lakukan ketika kali pertama bertanding dalam jelajah, ia adalah untuk melanjutkan karier saya.” – AFP

Aksi Serena Williams ketika mengembalikan pukulan kepada Strycova pada perlawanan perseorangan wanita pada hari ke-10 Kejohanan Tenis Wimbledon di London, pada 11 Julai 2019. – AP