PARIS, 1 Jun – Pemain tenis dari Amerika Syarikat, Serena Williams berkata dia mahu membanggakan anak perempuannya selepas bangkit untuk mara ke peringkat ketiga Terbuka Perancis kelmarin.
Pemain berusia 36 tahun itu bangkit untuk menewaskan pemain dari Australia, Ashleigh Barty 3-6, 6-3, 6-4.
Bekas pemain nombor satu dunia dan juara dunia tiga kali itu beraksi untuk saingan Slam pertama sejak menjuarai Terbuka Australia 2017 dalam keadaan sarat mengandung dua bulan.
“Ia sangat mengujakan,” kata Williams.
“Saya begitu gembira untuk kembali di sini. Saya tewas pada set pertama dan berfikir untuk berkerja keras, saya mesti berkerja keras dan akhirnya Serena kembali.
“Esok saya kembali untuk aksi beregu bersama Venus. Saya tidak kira bermain perseorangan atau beregu, saya akan bermain sebaik mungkin.”
Williams berkata anak perempuannya merupakan sumber inspirasinya untuk kekal dengan kemenangan apabila mengimpikan rekod Margaret Court sepanjang zaman dengan 24 major.
“Ini merupakan Grand Slam pertama saya sejak kembali dan saya mahu melakukan sebaik mungkin.
“Saya mahu satu hari nanti memberitahu kepada anak perempuan saya bahawa saya telah cuba sedaya upaya.”
Williams akan berdepan pemain dari Jerman, Julia Goerges untuk berebut tempat peringkat 16 esok.
Jika dia berjaya melepasi cabaran ini, dia akan akan berdepan dengan pesaing lama, Maria Sharapova untuk menempah peringkat suku akhir. – AFP