LONDON, 16 OGOS – Manchester City hari ini mengesahkan pe-nandatanganan pemain pertahanan Sepanyol, Sergio Gomez dari Anderlecht untuk kontrak empat tahun pada harga dilaporkan berjumlah £11 juta (AS$13 juta).
Pemain antarabangsa bawah 21 tahun itu menjadi penandatanganan keempat juara Liga Perdana dalam kempen perpindahan berikutan ketibaan Erling Haaland, Kalvin Phillips dan Stefan Ortega Moreno.
“City adalah pasukan terbaik di England dan dengan kepimpinan Pep Guardiola saya berpeluang belajar dan maju di bawah pengurus paling cemerlang dalam dunia bola sepak,” kata pemain berusia 21 tahun itu, yang sebelum ini merupakan pemain remaja Barcelona.
“Untuk menyertai kelab ini merupakan impian menjadi kenyataan bagi saya dan sesuatu yang ingin dicapai oleh mana-mana pemain muda.”
Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain berkata Gomez adalah ‘bakat muda yang hebat.’
“Kami yakin dia akan membawa kualiti tambahan kepada skuad kami dari segi pertahanan dan dia akan terus meningkat bermain di bawah Pep dan jurulatihnya,” kata beliau.
Guardiola pada minggu lalu mengesahkan ketibaan Gomez, mengetepikan cadangan dia akan dihantar sebagai pemain pinjaman pada musim ini. – AFP