Seri Dewi Malam johan mukun

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

TEMBURONG, 27 Julai – Enam kumpulan mukun berentap di peringkat akhir Pertandingan Mukun bagi menyerikan dan memeriahkan lagi malam persembahan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun yang berlangsung di Pentas Perayaan, Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong, malam tadi.

Pada kemuncak pertandingan itu, persembahan mukun daripada peserta Daerah Limbang, Sarawak iaitu Pasukan ‘Seri Dewi Malam’ yang menampilkan pemantunnya Sarinah binti Sulaiman dan Mayang binti Radin telah berjaya menewaskan lima pasukan lain pada malam tersebut.

Manakala, naib johan pertandingan disandang oleh Pasukan ‘Mawar Merah’ menampilkan pasangan Joni Sulaiman dan Isah binti Gundah juga dari Daerah Limbang dan di tempat ketiga diraih oleh Pasukan ‘Memukun’ dengan pemantunnya terdiri daripada Awang Jamba bin Haji Nayan dan Dayang Halimah binti Kantal dari Daerah Brunei dan Muara.

Hadir selaku tetamu kehormat yang juga menyampaikan hadiah kepada para peserta pertandingan mukun ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu bersama isteri.

Yang Berhormat Haji Emran dan isteri hadir selaku tetamu kehormat pada acara Pertandingan Mukun di Daerah Temburong.
Yang Berhormat Haji Emran dan isteri hadir selaku tetamu kehormat pada acara Pertandingan Mukun di Daerah Temburong.
Yang Berhormat Haji Emran bergambar ramai bersama para peserta mukun.
Yang Berhormat Haji Emran bergambar ramai bersama para peserta mukun.

Turut hadir Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin dan isteri; Ketua Kampung Menengah, Mejar (B) Ampuan Hussain bin Ampuan Mattahir dan isteri; Pemangku Ketua Jabatan Penerangan, Awang Ah Chua bin Bangau serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.

Acara yang kemudian diakhiri dengan persembahan mukun beramai-ramai itu adalah salah satu acara yang dikendalikan oleh Stesen Radio Televisyen Brunei (RTB) Cawangan Daerah Temburong sepanjang malam perayaan yang juga mengetengahkan Pertandingan Bintang Kecil, Bintang Keputeraan, Malam Belia Masjid, Acara Malam bercorak Keagamaan, Pentarama dan Malam Citra Muzikal.