Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Program Malam Munajat ke-171 Khas untuk Wanita ke-21 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ini diserikan dengan tazkirah bertajuk Seri Dunia: Jurang Wanita Ke Syurga disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti lslam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Widad binti Haji Abdul Aziz.
Antara isi kandungan tazkirah menyentuh tentang syurga Allah SWT yang dipagari dengan pelbagai jenis kesusahan manakala neraka pula dipagari dengan godaan dan hawa nafsu.
“Dalam erti kata lain, apabila kita sentiasa senang untuk meninggalkan solat maka ini adalah godaan hawa nafsu dan di saat kita merasakan solat semakin berat, ketahuilah godaan syaitan itu semakin kuat,” ujar Dr Widad.
Acara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) dari Surau Utama KUPUSB, Dayang Nurul Azimah binti Haji Abdul Hamid, diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Penolong Ketua Exco Keagamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar KUPUSB, Dayang Hayatul Ain Nabillah binti Amir Hussin.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Syarie, Bahagian Pendakwaan Syarie, KHEU, Hajah Siti Khalijah binti Haji Bakar.
Selesai tazkirah, majlis diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Penolong Pensyarah (SkiPPA) KUPUSB dari Surau Utama, Dayang Nur Hazimah binti Haji Marali.
Manakala, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Ugama (SkiPPA) Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU dari Surau Utama KUPUSB, Dayang Noorhazlina binti Mohiddin.
Acara itu juga disemarakkan oleh tenaga akademik dan para pelajar UNISSA dari Surau Utama KUPUSB, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah wanita dari beberapa buah masjid dan ikut serta secara maya ialah warga kerja wanita KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Turut menyerikan acara ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.
Acara Malam Munajat mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan daripada Allah SWT dengan berzikir dan berselawat, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai semoga Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terhindar daripada segala malapetaka dan penyakit berbahaya.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheuwanita.