Sunday, February 9, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seri Talam Cat Cafe syurga buat pencinta kucing

    Oleh Norhidayyu Zainal – 

    KUALA LUMPUR – Sebaik melangkah ke galeri kucing Seri Talam Cat Cafe, kedatangan penulis disambut sekumpulan ‘si bulus’ yang gebu dan comel serta sekali-sekala berebut menggeselkan bahagian sisi atau tepi kepala di kaki penulis.

    Sifat manja itu membuatkan penulis langsung tidak menyangka bahawa 120 kucing yang berada di galeri itu sebenarnya adalah kucing jalanan yang diselamatkan oleh Zaiton Abdul Mayas.

    Zaiton, 61, yang merupakan pemilik Seri Talam Cat Cafe di Taman Sri Rampai, Setapak, di sini membuka premis itu sejak 2010 bukan sahaja memberi perlindungan kepada haiwan berkenaan malah pelanggannya dapat menikmati keenakan kuih talam, menu yang menjadi sajian istimewa di kafe terletak di tingkat bawah bangunan itu.

    “Jika lihat keadaan kucing yang dipungut, memang sangat menyedihkan, ada yang menyayat hati kerana sakit, kurus kering, kudung kaki, buta dan pelbagai lagi masalah kesihatan. Saya kasihan… kenapa manusia perlu menganiaya dan menyeksa haiwan ini.

    “Walaupun ada antara kucing ini kelihatan jelik, kotor dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan, kucing ini masih hidup dan boleh dirawat. Hanya perlukan belas kasihan manusia untuk merawat dan memelihara,” katanya kepada Bernama.

    Kedatangan penulis disambut sekumpulan ‘si bulus’ yang gebu dan comel serta sekali-sekala berebut menggeselkan bahagian sisi atau tepi kepala di kaki penulis ketika berkunjung ke Taman Sri Rampai, Setapak. – Gambar Bernama
    Pemilik Seri Talam Cat Cafe Zaiton Abdul Mayas menunjukkan pelbagai jenis kuih talam yang dijual di Taman Sri Rampai, Setapak. – Gambar Bernama
    Galeri kucing Seri Talam Cat Cafe sentiasa disambut sekumpulan si bulus yang gebu dan comel yang sekali-sekala berebut menggeselkan bahagian sisi atau tepi kepala mereka di Taman Sri Rampai, Setapak. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Menurut Zaiton galeri kucing dilengkapi penyaman udara itu mempunyai beranda, ruang tamu yang dijadikan ruang permainan, bilik utama yang berfungsi sebagai bilik kuarantin dan tiga bilik lain serta tandas.

    “Pada asalnya, saya mengusahakan perniagaan kecil yang menjual dan membekalkan lebih daripada 50 jenis kuih talam dan kuih-muih tradisional lain menerusi Seri Talam Zaiton, manakala kucing-kucing jalanan itu pula hanya ditempatkan di rumah saya.

    “Namun, melihat kepada jumlah kucing yang semakin bertambah, saya rasa bertanggungjawab untuk menyediakan satu tempat khas yang lebih sesuai dan selesa. Atas sebab itu wujudlah Seri Talam Cat Cafe, gabungan bagi dua perkara yang saya minati,” katanya.

    Zaiton berkata setiap kucing yang diselamatkan akan dirawat, divaksin dan dimandulkan sebelum dilepas bebas di galeri kucing atau diberikan kepada individu yang berminat untuk mengambilnya sebagai kucing angkat.

    Beliau berkata pihaknya akan menemu bual bakal pemilik untuk mengenal pasti sama ada individu itu tahu menjaga kucing bagi memastikan haiwan berkenaan berada dalam keadaan baik.

    “Saya tiada masalah jika ada yang berminat untuk memeliharanya, tapi pastikan kucing dijaga dengan betul. Saya tak nak kucing itu nanti bila orang ambil, (berubah) seperti kita ambil dari jalanan.

    “Saya berharap masalah kucing jalanan ini dapat ditangani bersama-sama oleh masyarakat dan besar harapan saya, agar satu hari nanti, isu ini dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.

    Zaiton berkata lebih menarik kucing-kucing berkenaan diberi nama mengikut tempat dipungut seperti Alamanda atau mengikut ciri fizikal, karakter serta sifat kucing tersebut seperti Juling, Dobok, Jaya dan Bulat.

    Mengenakan caj bayaran RM25 sejam, Zaiton yang juga pesara guru berkata, pengunjung berpeluang membelai dan bermain dengan kucing dalam keadaan santai sebagai satu bentuk terapi melepaskan tekanan.

    Ibu tunggal itu juga memperuntukkan kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan kesemua kucingnya itu yang membabitkan kos penjagaan, makanan, perubatan dan imunisasi berkala serta suntikan vaksin.

    “Semua perbelanjaan itu adalah hasil daripada keuntungan jualan kafe, jualan pasir kucing buatan sendiri serta caj masuk yang dikenakan bagi setiap pelawat,” katanya.

    Seorang pengunjung, Fara Omar, 41, yang juga kakitangan swasta berpendapat kesempatan meluangkan masa bersama kucing memberikannya kepuasan terutama selepas seharian penat bekerja.

    “Ia dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi malah anak perempuan saya juga sangat menggemarinya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda