Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seri wajah tampak jelita dengan teknik solekan profesional

    Oleh Lenna N.B.

     

    HAMPIR 17 tahun mengenali dunia solekan sejak beliau menuntut di Maktab Duli lagi, nama beliau kini bukan lagi asing dalam bidang seni solekan tanahair, malah, beliau juga telah menempa nama di negara-negara jiran dan satu-satunya jurusolek tanahair yang telah mengeluarkan produk kecantikannya sendiri, di bawah jenama Elly Asbellah.

    Sesiapa yang kenal jenama itu, pasti mengenali beliau sebagai jurusolek lelaki yang berani tampil menceburi diri dalam industri seni solekan sepenuh masa. Meninggalkan karier beliau demi mengejar cita-cita untuk menjadi jurusolek profesional, sekali gus memperkembangkan perniagaan beliau secara global.

    Guru-guru beliau antaranya adalah LT Pro, Bennu, Yohenes Wedding dan Chenny Han, Jurusolek artis professional Agnes Monica, dan pada baru-baru ini, beliau baru sahaja tamat mengikuti kursus bersama dengan pakar tatarias, Hayana Sanquetta dari Brazil, satu-satunya peserta lelaki antara ratusan peserta wanita.

    Sebelum ini, beliau juga pernah bekerjasama dengan syarikat-syarikat dan jenama kecantikan terkemuka antaranya adalah Sigma Beauty (USA), M.A.C Cosmetic (NY), LT Pro (Brunei & Indonesia), La Tulipe Cosmetique (Indonesia & Brunei), Sariayu Martha Tilaar (Indonesia & Brunei), Ronasutra (Malaysia & Brunei), Paloma (Brunei), Skinfood (Malaysia & Korea) dan banyak lagi.

    Beliau juga adalah wakil Brunei selaku salah seorang pemegang kad rasmi ahli MAC-Pro, khas untuk artis-artis jurusolek yang telah diiktiraf dari AS, umpama duta kecil untuk produk terkenal tersebut.

    Awang Elly bersama para peserta kelas solekan ‘Latest Trends Make-Up Workshop with Elly Asbellah’
    Awang Elly semasa mengikuti bengkel kursus pakar tatarias dengan Hayana Sanquetta dari Brazil, satu-satunya peserta lelaki antara ratusan peserta wanita.

    Kelas solekan trend terkini

    Pada awal bulan ini, Awang Elly telah menjayakan sebuah kelas solekan ‘Latest Trend Make-Up Workshop with Elly Asbellah’ dengan kerjasama MAC Cosmetic Malaysia, yang telah menaja cenderamata untuk para peserta dan bengkel tersebut turut mendapat pengesahan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negara.

    Disertai kira-kira 25 orang, terdiri daripada mereka yang baru berjinak-jinak dalam industri seni solekan, orang-orang persendirian dan tidak kurang juga artis-artis jurusolek yang memang sudah lama berkecimpung di dalam bidang industri ini.

    Kelas berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun dengan mengadakan bengkel selama lima jam yang merangkumi pengetahuan penjagaan kulit terkini sebagaimana yang telahpun diperkenalkan di Paris dan Milan, pengetahuan asas tentang berus solekan serta demonstrasi solekan yang dilakukan oleh Awang Elly sendiri selaras dengan gaya terkini bertemakan moden, santai dan elegan.

    Turut menarik adalah pembentangan Professor Dr. Chong, yang menyampaikan hasil kajiannya tentang barangan solekan dan kosmetik tiruan dan asli, perbezaannya serta kesannya kepada kesihatan.

    Menurut Awang Elly, dalam dunia seni solekan ini, beliau bukan sahaja memainkan peranannya untuk berkongsi ilmu tatarias tetapi juga kepentingan penjagaan kulit serta kesihatan wajah, kerana sering kali wanita suka berhias, atau bersolek untuk kelihatan cantik tetapi tidak menyedari akan kesan-kesan negatif kepada kulit mereka setelah memakai barangan-barangan solekan tertentu.

    “Saya terharu yang hadir di bengkel solekan ini bukan sahaja individu persendirian tetapi, mereka yang memang sudah berkarier sebagai artis jurusolek. Mereka masih ingin belajar di dalam kelas saya, walaupun kami sebenarnya sama-sama dalam proses pembelajaran setiap hari. Bagi saya, berkongsi ilmu ini, umpama membuat kerja amal. Jadi, apa-apa ilmu yang saya tahu, harus diperkongsikan agar kami dapat sama-sama maju dalam industri ini, dengan kreativiti dan kemahiran masing-masing,” ujar Awang Elly.

    Awang Elly Asbellah ketika melakukan demonstrasi solekan musim luruh sejuk di kelas solekan ‘Latest Trends Make-Up Workshop with Elly Asbellah’ dengan kerjasama MAC Cosmetic Malaysia pada awal bulan Oktober lalu.
    Sekitar suasana bengkel kelas solekan Awang Elly yang dihadiri kira-kira 25 orang peserta.
    Sentuhan solekan Awang Elly yang ber-temakan musim luruh-sejuk.

    Trend solekan musim luruh sejuk

    Berinspirasikan kepada empat musim, di kelas solekan ‘Latest Trends Make-Up Workshop’, Awang Elly telah mengetengahkan tema gaya solekan musim luruh sejuk yang ternyata mempunyai keunikan dari segi teknik dan penggunaan warna yang digayakan.

    Teknik tersebut digunakan oleh kaum wanita Paris dan Milan sewaktu musim luruh sejuk, iaitu biasanya sekitar bulan September hingga Januari.

    Dari sinilah ia dinamakan sebagai trend terkini atau gaya solekan terkini, yang dapat dimanfaatkan dalam gaya solekan untuk wanita-wanita tanahair, sama ada solekan sewaktu bekerja, menghadiri acara-acara rasmi dan keraian atau untuk para pengantin wanita.

    “Saya turut menyentuh sedikit tentang trend solekan di musim bunga dan musim panas tahun depan. Dengan ini, para peserta dapat menambah ilmu tentang trend terkini, dan tidak terlambat untuk mengikuti gaya-gaya terbaru, lebih kreatif dan berinovasi mengikut perubahan masa dan zaman,” tambah Awang Elly.

    Mengangkat bidang usahawan tata-rias

    Awang Elly, kini bukan lagi pemilik bersama sebalik syarikat M Image Sdn. Bhd. tetapi telah mengasaskan syarikat baru beliau, di bawah nama Elly Asbellah Corporation sekitar bulan September tahun ini, di mana beliau dapat menjalinkan kerjasama dengan MAC, serta jenama-jenama syarikat penjagaan kulit antarabangsa yang telah diujikaji selamat penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan Brunei.

    Selaku seorang yang prihatin, Awang Elly bukan sahaja ingin seseorang itu kelihatan cantik tetapi juga mempunyai kulit yang sihat. Justeru itu, beliau menjadi agen antara produk-produk kosmetik yang diyakini bahan-bahannya serta sesuai untuk kaum hawa di negara ini.

    Professor Dr. Chong, ketika membentangkan hasil kajiannya dalam kosmetik kecantikan antarabangsa.
    Cenderamata para peserta yang ditaja oleh MAC Cosmetic Malaysia.
    Antara produk kecantikan keluaran Elly Asbellah.

    “Bidang seni solekan atau tatarias ini memang banyak cabaran dan besar peranannya. Apabila kita menceburi bidang ini, atau apa sahaja bidang pun, kita harus belajar dan menerokai apa sahaja berkaitan dengannya.

    Pada mulanya memang dari bakat yang tersembunyi, selepas itu, terletak kepada keberanian dan keinginan kita untuk meneroka.

    Jangan pendam kepandaian yang ada, luahkan dan terokai sedalam manapun, di sanalah saya memulakan perjalanan saya dari memulakan perniagaan, mengeluarkan produk saya, membentuk jenama, berhenti bekerja dari sesuatu yang tidak kita minati dan seterusnya bangun dengan nafas baru, menganjurkan kelas-kelas solekan, memanfaatkan kebolehan dari minat yang tinggi sehingga akhirnya kita dapat berbakti, membantu dan menyumbangkan sesuatu dari kemahiran yang ada,” terang beliau.

    Awang Elly dalam diam menyimpan cita-cita untuk mengangkat bidang usahawan tatarias tanahair ini.

    Beliau mendorong lebih banyak artis sepertinya, tampil berani bukan sahaja dari segi menawarkan perkhidmatan solekan tetapi juga, mengeluarkan produk kecantikan agar sama-sama dapat mengangkat bidang usahawan tatarias ini sama ada dari peringkat dalam negara atau global.

    Akan datang, dengan kerjasama Mua Community.Com, kelas solekan ‘Beauty Workshop Glamour Makeup with Dean Proffesonal Makeup Artist’ juga akan dilangsungkan pada 26 November ini, dengan menjemput pakar jurusolek dari Indonesia.

    Awang Elly Asbellah kini jauh lebih ke depan setelah setahun lepas penulis pertama kali menemui dan menemuramah beliau dalam Media Permata. Ternyata masih banyak perjalanan beliau ingin lalui dan terokai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda