Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-At-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, malam tadi telah berkenan berangkat ke Majlis Night of Chinese Culture and Tourism bertempat di Jerudong Park Amphitheatre, di sini.
Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dijunjung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.
Juga hadir pada majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Turut hadir ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Night of Chinese Culture and Tourism yang diadakan bersempena Ulang Tahun ke-70 Pengasasan Republik Rakyat China yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China dan Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dan turut disokong oleh Brunei-China Friendship Association itu bertujuan bagi mengukuhkan lagi pertukaran budaya dan pelancongan dan kerjasama antara China dan Negara Brunei Darussalam.
Acara yang penuh meriah berkenaan menampilkan sebanyak 50 persembahan yang meliputi persembahan Wushu dan Taiji yang dipersembahkan oleh Chinese Kungfu Performance Group yang diundang khas dari Republik Rakyat China.
Menurut PYT Yu Hong dalam sembah ucapannya antara lain menjelaskan mengenai Wushu dan Taiji yang merupakan simbol bagi kebudayaan China dan menjadi salah satu khazanah tradisi bagi negara tersebut.
PYT Yu Hong turut menambah bahawa meskipun Wushu dan Taiji berasal dari China namun ia merupakan kepunyaan dunia yang mana ia bukan hanya dicipta bagi mereka yang ingin meningkatkan tahap kecergasan fizikal mereka malah ia juga dapat dijadikan cara untuk berhubung bersama rakan-rakan melalui seni bela diri.
