Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serikan malam Maulidur Rasul dengan bertabarruk

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT — Mencari kebaikan dan keberkatan di sisi Allah SWT melalui amalan-amalan yang sesuai dengan syariat seperti bertabarruk sebagai amalan sunnah adalah antara amalan para sahabat Radhiallahu’anhum yang diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang salih.

    Perkara itu antara intipati tazkirah bertajuk Menyambut Maulidur Rasul Dengan Bertabarruk yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama dari Unit Dakwah Daerah Tutong, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid, dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang pada Malam Munajat kali ke-150 yang diadakan malam tadi secara dalam talian.

    Tazkirah tersebut menjelaskan konsep ‘tabarruk’, yang bermaksud menagih ketetapan kebaikan di sisi Allah SWT pada sesuatu perkara, di mana hukum ke atasnya adalah harus selagi ia bergantung kepada keselariannya dengan yang disyariatkan daripada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

    Malam Munajat kali ini mengundang Ahli Jawatankuasa Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) selaku tetamu khas, Awang Azril Anwar bin Ahmad, yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.

    Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, bersama ahli-ahli MKM; guru-guru Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal (SU PAP) Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut; ahli-ahli Jawatankuasa takmir dan jemaah Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang dan Masjid Kampung Perpindahan Lambak Kanan serta beberapa buah lagi masjid termasuk balai ibadat di seluruh negara. Juga, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang mengikuti secara maya dari kediaman masing-masing.

    Acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk yang dipimpin oleh guru agama dari SU PAP Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut, Haji Mohd Rudzaini bin Haji Mohammad. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Imam Tingkat Tiga dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhd Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.

    Majlis turut diserikan dengan Dikir Syarafil Anam – Khairuman dipersembahkan secara beramai-ramai, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Masjid Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Haji Julazni bin Haji Mohd Zaini.

    Malam Munajat bertujuan untuk memperkukuhkan amalan kerohanian, memohon keampunan daripada Allah, serta mendoakan keselamatan Negara Brunei Darussalam daripada sebarang musibah dan penyakit berbahaya.

    Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin turut menyertai Malam Munajat yang diadakan secara maya. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda