Friday, January 31, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serikan raya dengan hiasan rekaan sendiri

    Oleh Amri HTZ

    Kurang daripada seminggu lagi masyarakat Islam akan menyambut kedatangan bulan Syawal setelah menunaikan ibadah puasa selama sebulan.

    Dengan hari keraian ini, pelbagai persiapan perlu dilakukan untuk menerima tetamu yang bakal berkunjung bagi merapatkan silaturahim selain bermaaf-maafan. Sebagai persediaan, selain membersihkan rumah, pada kebiasaannya kediaman juga dilengkapi dengan perhiasan dan kuih-muih. Tumpuan utama ketika tetamu menjamu selera setentunya tempat meletakkan makanan ringan. Selain menggunakan tempat penyimpanan diperbuat daripada kaca dan plastik, penyimpanan yang terbuat daripada kayu juga tidak kurang menariknya.

    Apakah barangan yang diperlukan?

    Mendapatkan tempat penyimpanan makanan ringan dengan cara membelinya amat mudah, namun kadang-kadang tidak bertepatan dengan keinginan. Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah tersebut, awda juga boleh merekanya sendiri dengan beberapa barangan seperti kepingan papan, gam kayu, super glue, mesin pemotong kayu, kertas pasir, ketam kayu, cat sembur, pita pengukur, alat pengepit kayu, mesin scroll atau bandsaw dan pensel atau pen penanda untuk menjayakannya.

    Tumpu perhatian dalam langkah pembuatan

    Kepingan papan yang digunakan dalam projek ini terdiri daripada tiga warna iaitu cerah, gelap dan kemerahan. Jika warna kemerahan sukar untuk didapatkan, cukuplah hanya menggunakan dua warna iaitu cerah dan gelap dengan menggantikan kayu warna kemerahan dalam projek ini kepada gelap. Penggunaan kayu dengan warna berbeza adalah bagi membezakan garisan rekaan ketika kayu dicantumkan. Selain itu warna asli rekaan yang terhasil daripada kayu digunakan setentunya akan menjadikan tampak lebih menarik.

    Untuk langkah pertama, kayu yang tersedia terlebih dahulu akan diketam permukaannya bagi mendapatkan hasil akhir yang lebih halus dan rata.

    Langkah pembuatan bahagian bunga reben menggunakan mesin scroll.
    Bahagian utama kotak yang telah dicantumkan menggunakan gam kayu.
    Kayu bahagian tali reben yang dicantumkan kemudian dipotong lebihannya menggunakan gergaji.

    Cantuman bahagian bunga reben didahului melalui bahagian bawah.
    Langkah melindungi permukaan kayu menggunakan cat sembur.

    Setelah meratakan permukaan kayu, ia kemudiannya akan dipotong untuk dijadikan bahagian tertentu dengan kayu kemerahan berukuran (3 inci) x (0.25 inci) x (6 inci) bagi dua keping (untuk bahagian depan dan belakang kotak), kayu berwarna gelap dengan ukuran (3 inci) x (0.25 inci) x (3 inci) (dua keping untuk bahagian sisi kotak) dan (3 inci) x (0.25 inci) x (6 inci)(dua keping untuk bahagian penutup dan bawah kotak, kepingan kayu cerah berukuran 2 sentimeter (sm) x 0.5sm untuk tali reben dan 2sm x 2sm bagi bunga reben, dan kayu gelap berukuran 1sm x 0.5sm (tali reben) dan 1sm x 2sm (bunga reben).

    Sebelum memulakan proses mencantumkan struktur kotak, langkah pembuatan terlebih dahulu dimulakan dengan mencantumkan kayu-kayu untuk mereka bunga reben. Kayu cerah 2sm x 2sm akan dicantumkan dengan kayu gelap 1sm x 2sm diikuti dengan kayu cerah 2sm x 2sm, dengan kayu berwarna gelap pada bahagian tengah. Sapukan permukaan kayu menggunakan gam kayu dan kepit menggunakan alat pengepit kayu untuk mengekalkan kedudukannya sehingga gam mengering.

    Selain itu untuk kayu tali reben, langkah yang sama juga akan dilakukan di mana kayu cerah (2sm x 0.5sm) akan dicantumkan dengan kayu gelap berukuran 1sm x 0.5sm pada bahagian tengah. Tujuan melakukannya pada awal langkah adalah bagi menyingkatkan masa pembuatan sementara menunggu gam mengering.

    Untuk kayu bahagian kotak, sudut potongan untuk kayu bahagian depan, belakang dan kedua-dua sisi kiri dan kanan akan memerlukan awda menetapkan bilah mesin pada kedudukan 45 darjah.

    Dengan bantuan mitre gauge, sorong perlahan setiap kepingan untuk memotongkan kayu.

    Sudut potongan sedemikian adalah bagi membolehkan awda melaksanakan teknik cantuman mitered butt yang menjadikan penampilan rekaan lebih profesional.

    Setelah memotongnya, sapukan gam kayu pada permukaan cantuman dan kekalkan kedudukannya sama ada menggunakan pengepit kayu atau air nailer. Menggunakan pengepit kayu setentunya memerlukan masa yang lama untuk gam kayu mengering dan membolehkan awda mengendalikannya untuk langkah seterusnya sementara penggunaan air nailer akan membolehkan awda mengendalikannya walaupun gam belum kering.

    Bagi kayu yang dicantumkan untuk bunga reben, awda perlu melakar bentuk bunganya atau titisan air. Setelah itu potongbentuk tersebut mengguna mesin scroll atau bandsaw.

    Mulakan langkah pemotongan daripada bahagian dalam kayu dengan menebuk lubang menggunakan gerudi bagi membolehkan bilah mesin dimasukkan. Setelah itu awda boleh meneruskan langkah pemotongan untuk bentuk luaran. Enam bentuk bunga reben diperlukan untuk mendapatkan struktur bunga reben yang sempurna.

    Sementara untuk tali reben pada kotak, kayu yang dicantumkan menjadi satu untuk tali reben sebelumnya akan dipotong dengan panjang bersesuaian mengikut struktur kotak.

    Untuk mendapatkan ukuran dengan cara mudah, letakkan kayu pada permukaan kotak dan tandakan panjang diperlukan. Setelah itu cantum menggunakan gam kayu atau super glue.

    Langkah seterusnya ialah mencantumkan bahagian-bahagian kayu untuk bunga reben menggunakan super glue. Mulakan dengan bunga bahagian bawah sehingga membentuk bulatan dan diakhiri dengan bahagian atas. Dengan langkah ini, kini rekaan kini boleh dilihat secara keseluruhannya.

    Untuk langkah terakhir, bagi mendapatkan permukaan berkilat serta dilindungi, cat sembur clear yang tersedia akan disemburkan pada keseluruhan permukaan kayu. Setelah menyemburkan dua lapisan dengan setiap lapisan diberikan masa untuk mengering, gosok permukaan kayu menggunakan kertas pasir berukuran 800 grit.

    Bersihkan permukaan yang telah digosok menggunakan pembersih beralkohol dan akhiri langkah pembuatan dengan semburan cat terakhir pada permukaan rekaan. Dengan langkah menggosokkan dan menyemburkan cat semula tersebut, ia akan memberikan permukaan kayu yang licin dan berkilat.

    Kotak penyimpanan terbuat daripada kayu tersebut, kini boleh digunakan untuk menempatkan gula-gula dan sebagainya bagi menyambut tetamu yang bertandang semasa Aidilfitri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda