WAKTU pagi adalah permulaan kehidupan yang lumrah dialami oleh setiap insan. Namun ada kalanya orang tidak mengendahkan untuk mengambil sarapan akibat terlewat bangun dan risau datang lambat untuk bekerja atau sekolah.
Namun, seseorang itu harus menetapkan waktu sarapan dan penyediaannya juga begitu mudah iaitu hanya memerlukan sedikit bahan sahaja seperti telur, ayam, daging, keju dan mi, sajian sarapan yang lazat dan berkhasiat sudah dapat disajikan.
Justeru, berikut dikongsikan beberapa sarapan mudah dan dapat memberikan tenaga sebelum bertolak untuk bekerja atau ke sekolah. Selamat mencuba!
Samosa India
Bahan-Bahan:
1 keping roti tortilla
Keledek
2 sudu keju
Isi ayam siap masak
1 biji telur ayam
Cara membuat:
Potong roti tortilla memanjang menjadi dua bahagian.
Letakkan dua sudu keledek bersama isi ayam dan keju.
Lipat menjadi bentuk tiga segi.
Pecahkan telur dan pukul sebati.
Sapukan telur di bahagian hujung segi tiga samosa untuk kemaskan lipatan.
Goreng sehingga kekuningan.
Angkat dan tos minyak.
Hidangkan ketika masih panas.
Telur Dadar Bawang dan Keju
Bahan-Bahan:
3 biji telur ayam
50ml susu segar
Garam dan lada hitam secukup rasa.
Sedikit mentega
½ biji bawang merah yang dipotong dadu
2 sudu besar keju mozarela
Bahan hiasan:
Kentang goreng
Salad
Cara membuat:
Pecahkan telur ayam dan campurkan susu segar.
Pukul dengan garfu sehingga sebati.
Masukkan garam dan lada hitam serta ketepikan.
Panaskan kuali dan masukkan mentega.
Tumis bawang sampai naik wangi dan agak lembut.
Masukkan telur dan kecilkan api.
Kacau sedikit dan biarkan lapisan bawah sedikit masak. Letakkan keju dan lipat telur menjadi setengah iaitu keju di tengah-tengah.
Terbalikkan telur dan masak sebentar sehingga bahagian dalam masak.
Hidangkan bersama kentang goreng dan salad.
Mi Wantan Ayam
Bahan-Bahan:
1 ketul mi wantan
Sayur baby kalian
1 dada ayam siap gril yang dihiris nipis.
Bahan-bahan sos:
1 sudu sos soya cair
1 sudu kicap pekat
1 sudu kicap manis
1 sudu minyak bijan
1 sudu sos ikan
Cara membuat:
Rebus mi wantan dan sayur sampai masak.
Angkat dan basuh dengan air bersih sehingga sejuk dan tos.
Satukan semua bahan sos mi wantan dalam mangkuk.
Masakkan mi wantan dan gaul sehingga bersalut semua bahagian.
Masukkan dalam pinggan dan letakkan ayam, sayur, telur rebus (jika suka) dan hiaskan dengan daun ketumbar dan cili merah.