Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 28 April – Sempena kedatangan bulan suci Ramadan, Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi telah menyumbangkan air mineral dan kurma untuk kepada 17 buah masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Belait.
Penyerahan sumbangan telah diadakan baru-baru ini di Dewan Serbaguna Masjid Muhammad Jamalul Alam, di sini, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga penghulu Mukim Liang.
Pada majlis itu, tetamu kehormat bersama Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad telah menyampaikan sumbangan kepada perwakilan masjid-masjid.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail dan Ketua Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.
Antara yang menerima sumbangan berkenaan termasuk Masjid Muhammad Jamalul Alam, Masjid RPN Kampung Pandan, Masjid Pekan Seria, Masjid STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, Masjid Zainab, Masjid Kampung Sungai Liang, Masjid Kampung Sungai Teraban, Masjid Al-Mashhor, Masjid Kampung Bukit Sawat, Masjid Kampung Labi, Balai Ibadat Kampung Merangking, Balai Ibadat Kampung Sukang, Balai Ibadat Kampung Melilas, Surau Batalion ketiga Ar-Rahmah, Surau Polis Panaga, Surau Mashhor General Contractor dan Surau Haji Ibrahim dengan setiap perwakilan menerima satu karton air mineral dan kurma.
