Sering berkongsi gambar bersama seorang anak damit di Instagram mencetuskan persoalan, apakah Hisyam Hamid dan isterinya, Melrose Hanafi baru menimang cahaya mata.
Perkongsian itu juga kata Hisyam, 34, membuatkan dia dan isteri sering menerima ucapan tahniah kerana ramai beranggapan, mereka baru dikurniakan anak ketiga.
“Isteri, terutamanya kerap menerima ucapan tahniah kerana ramai menyangka, dia baru bersalin. Tambahan pula, kebelakangan ini, dia jarang memuat naik perkongsian terbaharu di media sosial. Sebenarnya, anak damit itu ialah anak buah yang dijaga oleh ibu saya. Memandangkan saya memang suka budak-budak, jadi seronok berkongsi gambar bersamanya.
“Tidak sangka pula ada yang membuat andaian, saya menimang cahaya mata baharu, sedangkan saya tidak pernah berkongsi berita isteri hamil lagi. Saya hanya tersenyum setiap kali menerima ucapan tahniah. Kebetulan, saya banyak meluangkan masa di Singapura untuk menguruskan perniagaan, selain memenuhi tawaran kerja di sana. Apabila ada kelapangan, saya seronok melayani kerenah anak saudara,” katanya.
Mendirikan rumah tangga dengan Melrose yang bertindak sebagai pengurusnya sejak 13 tahun lalu, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah dan Hayden.
Berkongsi perkembangan kerjaya, Hisyam berkata, dia bakal muncul dengan filem seram, Dendam Pontianak arahan Gavin Yap dan Glen Goei yang bakal ditayangkan bermula 12 September ini. Selain Hisyam, Dendam Pontianak turut menampilkan Fazura, Remy Ishak, Shenty Feliziana dan Tony Eusoff. – Agensi
