Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Kemahiran peserta Indonesia dalam Pertandingan Khat Peringkat ASEAN 2022 memang tiada tandingannya, kerana mereka memang berbakat dan mempunyai pengalaman yang sangat luas serta bilangan institusi pendidikan yang menjurus secara khusus terhadap kaligrafi Islam atau khat.
Perkara itu diketengahkan oleh Presiden Persatuan Kaligrafi Kebangsaan Malaysia, Dr Abdul Rahman bin Haji Hamzah ketika ditemu bual semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Khat Peringkat ASEAN 2022 yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Selaku juri pertandingan, Dr Abdul Rahman berkongsi bahawa pihak sekolah melatih pelajar untuk membiasakan diri bukan sahaja dengan metodologi penulisan dan teknik kaligrafi tetapi juga menyertai pertandingan kaligrafi.
Selain itu, Indonesia mempunyai banyak pertandingan kaligrafi Islam dengan hadiah menarik ditawarkan, dan sekolah mewajibkan pelajar bertanding untuk memberi pendedahan kepada mereka, menjadikan mereka lebih maju dalam bidang itu berbanding negara lain.
Di Brunei, Pusat Pengajian Seni Kaligrafi dan Seni Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) merupakan pusat pembelajaran yang menawarkan program dan menyediakan perkhidmatan untuk meluaskan pengetahuan, kecekapan dan kemahiran seni Islam ke arah memartabatkan tulisan jawi khususnya seni kaligrafi Islam.
Terletak di Rumah Semaun, Jalan Jerambak, pusat itu turut menampilkan galeri yang dibuka untuk tatapan umum. Salah seorang peserta Indonesia, Miftahul Huda yang memenangi tempat kedua dalam pertandingan itu, berkata bahawa pada mulanya beliau bercadang untuk pasrah untuk meneruskan pertan-dingan itu kerana notis yang singkat.
Bagaimanapun, rakan-rakan yang menyertai pertandingan itu memujuknya untuk mencubanya dan menyebabkan mereka menghabiskan lima malam tanpa tidur untuk menyiapkan kerja mereka.
Katanya, beliau gembira dan bersyukur kerana keputusan saat akhir meletakkannya di tempat kedua.
Menurut beliau, minatnya terhadap kaligrafi Islam bermula sejak zaman kanak-kanak dan mula serius pada 2012 selepas diperkenalkan dengan salah seorang gurunya dari Turkiye.
Tambahnya, beliau masih belajar di bawah bimbingan beberapa mentor seni khat yang lain. Ini merupakan kali ketiga beliau berada dalam tiga teratas untuk pertandingan kaligrafi Islam, kali pertama beliau menyertai pertandingan di wilayah Jawa Tengah di mana beliau menduduki tempat teratas pada 2012 dan pada tahun yang sama menduduki tempat kedua di pertandingan di Sabah, Malaysia.
Beliau berkata, penempatan tingginya di sini adalah di luar jangkaan kerana rakan peserta sangat kompetitif dan kreatif
Beliau juga berharap seni khat Islam akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupannya dan sedar bahawa keupayaannya mencipta jangkaan yang besar, justeru kemenangan itu bukan sahaja untuknya tetapi juga untuk rakan-rakannya di tanah air.
Seterusnya, peserta tempatan, Awang Mohammad Nazir bin Haji Othman berkata, walaupun hanya memenangi tempat sagu hati, ia masih menjadi bukti bahawa rakyat tempatan boleh berjaya, ia merupakan acara yang mencabar dan bersaing dengan peserta antarabangsa memang bukanlah mudah.
Beliau terlibat dalam seni khat Islam sejak menamatkan pengajian di Universiti Brunei Darussalam. Sejak 10 tahun lalu, beliau telah memberikan tumpuan kepada seni khat Islam. Beliau melihat pertandingan itu bukan penamat tetapi permulaan buatnya dan percaya artis tempatan berpotensi untuk meningkatkan mutu karya mereka.