Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Serlah hubungan akrab Malaysia, Brunei’

    KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Keakraban hubungan Malaysia dan Brunei terserlah apabila Sultan Ibrahim berangkat ke ne-gara jiran itu untuk mempersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, warkah persilaan sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini. 

    Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pada 25 Jun lepas turut menggambarkan keunikan dan keutuhan hubungan kedua-dua ketua negara itu.

    Beliau yang turut mengiringi keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Brunei menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai sesuatu yang cukup indah dan istimewa, malah berlangsung dalam suasana amat akrab.

    “Biarpun Brunei bukanlah di dalam Malaysia, persaudaraan antara Raja-raja Melayu itu yang membawa kepada perkenan Sultan Ibrahim untuk berangkat ke Brunei dan persembahkan sendiri warkah persilaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    “Dalam bahasa Istana ini ada gelaran tersendiri, pada majlis menghadap dan persembahan warkah persilaan itu, Seri Paduka Baginda memanggil Baginda Sultan sebagai abang manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia memanggil Sultan Ibrahim sebagai adik, ia sesuatu yang sangat istimewa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Ahli kumpulan Nobat Diraja Perak, Muhammad Addili Mat Jusop meniup serunainya ketika sesi latihan di Istana Iskandariah baru-baru ini sebelum istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini. – Bernama

    Azuan Effendy berkata dalam pertemuan itu juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan rasa terharu dan gembira atas keberangkatan Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan warkah persilaan berkenaan. 

    Lebih istimewa, beliau berkata atas dasar keakraban kedua-dua negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah akan berangkat ke istiadat pertabalan Sultan Ibrahim walaupun pada minggu berkenaan Brunei meraikan Hari Keputeraan Baginda.

    Azuan Effendy berkata warkah persilaan yang diperbuat daripada kulit kambing adalah sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan perutusan bagi mengundang Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri serta kerabat diraja luar negara ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan diamalkan sejak sekian lama. 

    “Warkahnya juga tidak berubah, ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi, menggunakan bahasa Melayu dan diletakkan di dalam kapsul khas sebelum dipersembahkan oleh rombongan kepada jemputan yang berkenaan,” katanya.

    Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda