Oleh Nurdiyanah R.
Keindahan estetik tudung atau hijab merupakan sejenis perhiasan wajib untuk menutup bahagian rambut sebagaimana yang telah dituntut oleh syariat Islam khususnya buat wanita Muslimah di seluruh dunia.
Oleh yang demikian, dari hari ke hari, trend menjual tudung semakin meningkat dan mendapat permintaan yang sangat tinggi khususnya dalam kalangan wanita. Semestinya dengan keindahan gaya tudung yang diperagakan oleh wanita itu mampu menzahirkan seri wajah pada seseorang wanita.
“Dihiasi dengan taburan batu-batu Swarovski dengan keindahan corak-corak keBruneian, itulah salah satu keistimewaan yang kami tampilkan untuk pencinta hijab,” kata usahawan tudung tempatan, Dayang Maimun binti Abdullah selaku pengasas Al-Hayaah Brunei di bawah Syarikat Al-Hayaah Enterprise semasa ditemui penulis baru-baru ini.
Dayang Maimun yang telah melancarkan produk sejak Ogos lalu di butik beliau yang terletak di Kiulap itu menjelaskan bahawa terdapat sebanyak 22 pilihan warna yang menarik bermula daripada warna-warna lembut sehingga terang telah disediakan untuk memberikan kepuasan pilihan kepada para pelanggannya.
Di sebalik nama Al-Hayaah
Menurut pereka tudung berkenaan, Dayang Sara Khadhra bin Khalidkhan menyatakan nama Al-Hayaah tersebut sememangnya bererti Life yang mana ia merujuk kepada sebuah kehidupan di mana dengan pemakaian tudung ini, ia sememangnya mampu menghidupkan gaya penampilan seseorang wanita dalam menempuhi arus dunia fesyen kini.



Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tudung ini memiliki keistimewaan yang tersendiri daripada segi materialnya yang berasaskan kain sutera yang sememangnya amat sesuai dengan cuaca khususnya di negara-negara Asia.
Rekaan ciri-ciri KeBruneian
Dengan mengetengahkan jenis tudung dan shawl plain berbentuk segi empat dan juga selendang sehingga kepada jenis rekaan renda ini pastinya mampu memukau mata para wanita lebih-lebih lagi dengan adanya rekaan yang berkonsep corak dan identiti keBruneian yang indah seperti aing muleh dan bunga simpor.
Dalam pada itu, Dayang Miza Aqilah binti Murad yang bertanggungjawab dalam aspek pengeluaran dan penjualan produk tudung berkenaan turut menjelaskan bahawa sememangnya produk tudung berkenaan amat berbeza dengan yang lain kerana ia mempunyai logo tersendiri ditambah dengan perhiasan batu-batu Swarovski daripada pelbagai warna mengikut pilihan pelanggan.
Segalanya buatan tangan
Manakala selaku pengurus syarikat berkenaan, Dayang Ellyianna Luka menjelaskan bahawa pastinya mereka sentiasa menghasilkan produk tudung yang berkualiti dan ia mengambil masa selama lapan bulan untuk meneliti keluaran produk tudung dengan terperinci dari setiap aspek bermula daripada sesi jahitan sehinggalah aspek pemasaran.
Platform terbaik
Dalam pada itu, Dayang Maimun turut berkongsi kenangan manis yang sukar dilupakan sepanjang menjalankan perniagaan berkenaan, antaranya seperti menjalankan kolaborasi bersama syarikat Swarovski sehingga kini.
Dalam pada itu, syarikat beliau juga pernah mengikuti acara Malaysian Fashion Week di Kuala Lumpur bersama pengusaha-pengusaha tempatan dengan sokongan yang besar dari Darussalam Enterprise (DaRe) pada bulan Oktober lalu.
Dalam pada masa yang sama syarikat Al-Hayaah turut menerima tawaran penjualan produk-produk tudung menerusi dalam talian Zalora.
“Bersyukur, itulah yang hanya mampu kami ungkapkan. Inilah merupakan salah satu platform yang terbaik untuk kami mempromosikan produk-produk tudung ini ke peringkat antarabangsa.”
“Sentiasa berfikiran positif dan terokailah dunia keusahawanan meskipun secara kecil-kecilan, namun mestilah berbekalkan perancangan yang bijak dengan mengeluarkan produk atau barangan dengan daya kreativiti yang menarik dan unik di mata para pelanggan,” itulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh beliau semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.